'Kenyataan saya telah diputar belit'

Tangkap layar hantaran Facebook Dr Mahathir Mohamad yang mengulas mengenai reaksi yang diberikan terhadap kenyataannya semalam
Tangkap layar hantaran Facebook Dr Mahathir Mohamad yang mengulas mengenai reaksi yang diberikan terhadap kenyataannya semalam
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kesal apabila kenyataannya semalam berkenaan dengan isu keganasan agama di Perancis diputar belit oleh sesetengah pihak yang menggambarkan beliau sebagai menyokong perkara tersebut.

Menurutnya, pihak berkenaan mengambil hanya sebahagian daripada keseluruhan kenyataannya dan meletakkannya di luar konteks sebenar yang hendak disampaikan.

"Mereka menekankan hanya satu bahagian daripada perenggan 12 yang berbunyi: 'Umat Islam berhak untuk marah dan membunuh berjuta-juta orang Perancis kerana pembunuhan di masa lalu'.

"Mereka berhenti di situ dan menggambarkan bahawa saya mempromosikan pembunuhan orang Perancis.

"Sekiranya mereka membaca catatan tersebut secara keseluruhan terutamanya ayat berikutnya yang berbunyi: ‘Tetapi pada umumnya orang-orang Islam tidak menerapkan undang-undang darah dibalas dengan darah. Orang Islam tidak. Orang Perancis tidak seharusnya. Sebaliknya orang Perancis harus mengajar rakyatnya untuk menghormati perasaan orang lain',” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Dalam entri yang sama, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, disebabkan oleh penyampaian di luar konteks oleh pihak yang mengambil kenyataannya itu, laporan telah dibuat ke atas hantaran tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN Orang Islam berhak untuk marah, kata Dr Mahathir

Ciapan Dr Mahathir agungkan keganasan langgar peraturan Twitter

“Saya dituduh mempromosikan keganasan di Facebook (FB) dan Twitter. FB dan Twitter kemudian meminta saya untuk membuang catatan tersebut walaupun saya cuba menjelaskan konteks kenyataan itu, ia tetap dipadam,” ujarnya.

Menurutnya, beliau tidak diberi sebarang pilihan berkenaan dengan keputusan Facebook dan Twitter untuk memadam kenyataan yang telah dibuat.

Artikel Berkaitan:

“Mereka seharusnya perlu membenarkan saya untuk menjelaskan dan mempertahankan kedudukan saya kerana saya berfikiran mereka menyebarkan prinsip kebebasan bersuara.

“Tetapi itulah kebebasan bersuara bagi mereka. Di satu pihak, mereka membela mereka yang memilih untuk menampilkan karikatur yang menyinggung perasaan Nabi Muhammad SAW dan mengharapkan semua umat Islam menelannya atas nama kebebasan bersuara dan bersuara.

“Sebaliknya mereka sengaja menghapus kenyataan bahawa umat Islam tidak pernah membalas dendam atas ketidakadilan terhadap mereka pada masa lalu.

"Manakala rayuan saya supaya Perancis menasihati rakyatnya untuk bersikap lebih menghormati dan sensitif kepada kepercayaan orang lain juga tidak diendahkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!