Perak Bison tiada masalah jadual padat
PENYANDANG juara Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen Premier, Perak Bison optimis mampu memberi saingan terbaik sekiranya saingan tertinggi liga sepak takraw negara itu bersambung dengan STL Champions Cup yang bakal menyebabkan berlakunya kepadatan jadual perlawanan.
Jurulatih Perak Bison, Edy Yusman Abdul Manap berkata, pihaknya melihat kepadatan jadual saingan STL itu sebagai satu cabaran norma baharu kepada setiap pemain dan jurulatih dalam mempersiapkan pasukan masing-masing.
"Ikutkan tiada pasukan yang mahu mengharungi jadual padat dalam sebarang pertandingan, namun dalam konteks norma baharu ini kita perlu menerima hakikat dan kena lebih bersedia ke arah perjalanan liga yang sukar dijangka.
"Sebenarnya sememangnya mana-mana pasukan yang layak ke saingan STL Champions Cup selepas berakhirnya saingan STL kelak akan berdepan masalah jadi perkara ini adil kepada semua pasukan.
"Namun di sinilah setiap pasukan perlu bijak dalam melakukan penggiliran dalam kalangan pemain masing-masing dengan paling optimum sebaik mungkin. Dalam apa keadaan sekalipun, mental dan fizikal pemain-pemain perlu diberikan keutamaan dalam mengharungi jadual padat ini.
"Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) inilah masa terbaik untuk meningkatkan lagi kecergasan pemain-pemain kerana perlu diingat mental mereka perlu lebih bersedia kerana mereka bukan baru dalam kancah STL ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Pada masa sama, Edy Yusman menyifatkan penangguhan sementara saingan liga sejak tiga minggu secara tidak langsung memberi impak positif kepada setiap pasukan termasuk Perak Bison dalam memperbaiki kelemahan yang ada.
"Sebenarnya penangguhan STL memberi lebih ruang kepada pemain Perak Bison untuk membaiki prestasi dari segi permainan, motivasi dan psikologi supaya dapat kembali ke tahap normal, sekali gus meredakan tekanan sebelum ini.
"Pemain-pemain juga dapat memberikan fokus latihan kepada kelemahan dan memantapkan lagi dari segi team work. Paling penting pemain-pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini dapat recovery ke tahap optimum kerana Perak Bison terpaksa mengharapkan kepada empat pemain sahaja," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!