China semakin marah dengan Taiwan
Beratus-ratus perangkap khas untuk kereta kebal yang diletakkan di pantai Pulau Kinmei merupakan tanda amaran dan ingatan buat rakyat Taiwan bahawa ancaman pencerobohan daripada jirannya, China tidak dapat dielakkan.
Pulau tersebut yang dihuni oleh kira-kira 140,000 orang terletak hanya 3.2 kilometer dari Tanah Besar China dan berada dalam penguasaan tentera Nasionalis pada akhir Perang Saudara China pada tahun 1949.
Perang tersebut menyebabkan kewujudan Taiwan yang terpisah daripada pemerintahan pusat China.
Jika tentera Beijing menyeberangi Selat Taiwan, ia pasti akan berusaha untuk mengambil semula Pulau Kinmei terlebih dahulu.
Pulau itu pernah menjadi destinasi pelancongan untuk para pelancong China kerana ia mempunyai sejarah tersendiri dan pernah menjadi pangkalan tentera Taiwan untuk mengusir askar-askar dari negara komunis China.
Pada asalnya, tentera Nasionalis pimpinan Chiang Kai-shek bertempur dengan tentera komunis China sebelum berundur ke Taiwan selepas kalah dalam peperangan saudara pada tahun 1949.
Kira-kira 10,000 askar Taiwan pula terkorban dalam peperangan tersebut dan pulau itu menjadi popular di Barat apabila ia dijadikan isu utama dalam pilihan raya pada tahun 1960 iaitu antara John F. Kennedy daripada Parti Demokrat dengan Richard Nixon yang mewakili Parti Republikan.
Ketika perdebatan Presiden AS, kedua-dua calon itu berikrar akan mengerahkan tentera Amerika bagi mempertahankan pulau tersebut.
Dalam pilihan raya itu Kennedy menang dan menjadi Presiden AS yang ke-35.
Bagaimanapun, perkembangan terkini yang melibatkan pulau tersebut dan China telah mencetuskan kebimbangan Taipei.
Para pemimpin autoritarian di Beijing dikatakan bersedia untuk merampas Taiwan yang sebelum ini dianggap sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Jet-jet pejuang negara jirannya itu juga dilihat terbang melintasi zon pertahanan pulau tersebut manakala tentera China yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) telah mengeluarkan propaganda untuk menceroboh Taiwan.
Sebelum ini, parti Komunis China telah mengancam untuk menceroboh Taiwan yang dihuni oleh 23 juta orang itu selama lebih tujuh dekad.
Ia secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penganalisis, para pegawai dan pelabur-pelabur bahawa pencerobohan itu mungkin berlaku dalam tempoh beberapa tahun lagi sekali gus berpotensi mencetuskan peperangan dengan AS.
Seorang penulis buku The Chinese Invasion Threat: Taiwan's Defence and American Strategy in Asia, Ian Eston berkata, ketegangan di Selat Taiwan kini berbahaya.
"Kebimbangan saya semakin meningkat bahawa satu krisis utama akan berlaku, bagi tempoh lima ke 10 tahun akan datang ia akan menjadi salah satu tempat berbahaya. Ia secara asasnya tidak stabil," katanya.
Beliau merupakan Pengarah Kanan Institut Projek 2049 iaitu sebuah badan pemikir yang mengkhususkan hubungan antara China dan Taiwan.
Presiden China, Xi Jinping pernah berkata, pengambilalihan Taiwan merupakan satu kemahuan yang tidak dapat dielakkan untuk rakyat China iaitu satu projek yang akan disasarkan akan selesai dilakukan pada tahun 2049.
Semasa satu lawatan ke pangkalan PLA pada awal bulan ini, beliau memberitahu askar-askar China untuk bersedia menghadapi peperangan.
Dalam pada itu, bekas Pengarah Perisikan Tentera Laut AS di Pasifik, Kapten James Fanell percaya China akan menceroboh Taiwan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Sepanjang kerjayanya, beliau menyaksikan perubahan perkembangan angkatan tentera China yang kini dilengkapi dengan peluru berpandu hipersonik yang lebih baik dan mempunyai lebih banyak kapal perang berbanding AS.
"Bagi setiap sebuah kapal yang kita bina, mereka (China) membina kapal lima kali ganda banyaknya," kata Fanell kepada AFP.
Beliau juga berkata, bahawa China kini mempunyai kekuatan ketenteraan yang mungkin digunakan untuk mendapat semula pulau tersebut walaupun sebarang pencerobohan akan melibatkan belanja yang besar.
Setakat ini, AS cuba mengelakkan China menceroboh Taiwan tanpa berkonfrontasi secara langsung dengan Beijing melalui dasar kesamaran strategik.
Dalam pada itu, Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen yang memenangi penggal kedua pemerintahan pada Januari lalu melihat Taiwan sebagai sebuah negara berdaulat dan bukan sebagai satu China.
Ini adalah kerana China menentang mana-mana negara yang mengiktiraf Taiwan sebagai sebuah negara dan akan memutuskan hubungan diplomatik kepada negara yang mengiktiraf Taiwan.
Taiwan juga tidak mempunyai tempat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1971.
Bagaimanapun, AS perlu mendapat kelulusan daripada Kongres AS jika ia mahu menjual senjata kepada Taiwan dan ia menentang sebarang perubahan terhadap status wilayah berkenaan secara paksa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!