Semua SAKJ, TAJ, Marsah, maahad di Johor Bahru ditutup
JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mengarahkan semua Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) di daerah ini dan Kulai ditutup bermula esok hingga 14 November ini selepas Johor Bahru diisytiharkan sebagai zon merah.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, arahan penutupan tersebut turut melibatkan semua Tadika Agama Johor (TAJ) dan semua Sekolah Darjah Khas.
Menurutnya, ia termasuk Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), Sekolah Menengah Tinggi Arab (Maahad Johor), semua pusat tahfiz dan madrasah yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).
"Ini turut merangkumi semua sekolah agama persendirian yang berdaftar dengan JAIJ dan kelas-kelas pengajian al-Quran di bawah guru-guru al-Quran JAIJ.
"Arahan ini merangkumi pusat tahfiz dan pondok serta madrasah yang belum berdaftar dengan JAIJ," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Pendidikan mengarahkan 376 institusi pendidikan di seluruh Johor Bahru ditutup bermula esok sehingga 14 November ini susulan pengisytiharan zon merah oleh Kementerian Kesihatan.
Arahan tersebut membabitkan sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah swasta, institut pendidikan guru, sekolah vokasional dan kolej yang berada di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru, PPD Pasir Gudang dan PPD Kulai.
ARTIKEL BERKAITAN: 376 institusi pendidikan di Johor Bahru ditutup
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!