Penjawat awam tidak patut terima BPN pandangan sempit: Cuepacs

Presiden Cuepacs, Adnan Mat.
Presiden Cuepacs, Adnan Mat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpendapat pandangan bahawa penjawat awam tidak sepatutnya menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana tidak terkesan atau dipotong gaji sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai sempit.

Presidennya, Adnan Mat berkata, kenyataan tersebut dilihat hanya menyentuh konteks kecil keseluruhan isi rumah di Malaysia.

"Kriteria pemberian BPN berdasarkan pendapatan isi rumah atau keseluruhan keluarga dan bukan faktor individu semata-mata.

"Kerajaan telah menetapkan pemberian BPN kepada isi rumah yang berada pada kelas B40 dan M40 selain individu yang tergolong dalam senarai B40 dan M40. Penetapan kelas itu tidak mengambil kira sama ada mereka bekerja di sektor kerajaan atau sektor swasta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap pandangan seorang perunding kewangan melalui program anjuran Sinar Harian semalam yang menyatakan penjawat awam tidak terkesan atau dipotong gaji sepanjang penularan Covid-19 serta pelaksanaan PKP.

Pengasas juga Perunding Utama Hijrah Wealth Management Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir melalui program Sinar Live bertajuk 'Dari T20 Kepada M20' berkata, golongan terkesan ialah mereka yang dipotong gaji dan diberhentikan kerja.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, tidak semua penjawat awam yang menerima BPN.

"Jika pendapatan isi rumah mereka lebih daripada yang ditetapkan, maka tetap tidak layak walaupun bergelar penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga di sektor swasta, jika pendapatan isi rumah lebih daripada syarat ditetapkan mereka juga tidak layak untuk menerima BPN," katanya.

Jelasnya, tidak adil untuk mengatakan penjawat awam tidak layak menerima BPN hanya disebabkan mereka masih menerima gaji seperti biasa sepanjang PKP dan penularan Covid-19 ini.

"Harus diingatkan sekali lagi bahawa tidak semua pasangan penjawat awam turut bekerja di sektor kerajaan. Ada pasangan merupakan suri rumah sepenuh masa, bekerja sendiri seperti penjaja kecil serta bekerja di sektor swasta yang mungkin turut terjejas pendapatan mereka.

"Penjawat awam yang mempunyai pinjaman perumahan dengan LPPSA juga tetap perlu membayar pinjaman seperti biasa walaupun ada dalam kalangan pasangan mereka telah dibuang kerja, tidak dapat berniaga atau terjejas pendapatan," katanya.

Tambahnya, situasi semasa yang melanda negara ketika ini disebabkan penularan wabak Covid-19 dan mengganggu rutin kerja serta menjejaskan pendapatan isi rumah rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam tidak patut terima BPN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!