Wanita cedera ketika selamatkan diri dalam kebakaran

Rumah didiami tiga beranak yang hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Batu Arang, awal pagi tadi.
Rumah didiami tiga beranak yang hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Batu Arang, awal pagi tadi.
A
A
A

LABUAN - Seorang wanita cedera di kaki dan tangan ketika cuba menyelamatkan diri selepas rumah yang didiaminya terbakar dalam kejadian di Kampung Batu Arang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa Jainap Bchih yang berusia 30-an cedera akibat terkena zink ketika keluar dari rumah manakala suaminya, Zairudy Zainal, 38, bersama anak mereka Mohd Zaidi, 8, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Nasrullah Attu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.10 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba, sebuah rumah jenis kayu terbakar 100 peratus dan pemeriksaan lanjut terdapat seorang wanita cedera dalam kebakaran itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Labuan oleh jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, Nasrullah berkata, api berjaya dikawal pada jam 6.38 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira lapan minit kemudian.

"Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!