Jadikan Al-Quran sebagai sahabat, titah Sultan Mizan

Sultan Mizan Zainal Abidin. Foto: Bernama
Sultan Mizan Zainal Abidin. Foto: Bernama
A
A
A

KEMAMAN - Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam menjadikan al-Quran sebagai ‘sahabat’ dan tidak mengabaikannya.

Baginda bertitah amat rugi mereka yang mengabaikan al-Quran dengan tidak membaca, memahami dan beramal dengan kitab suci itu.

“Kelebihan al-Quran mengatasi kalam makhluk. Setiap huruf dibaca akan diberi kebaikan dan digandakan kepada sepuluh.

“Lebih daripada itu, anugerah Allah merentasi ke alam akhirat kerana ahli al-Quran diangkat darjat di akhir setiap ayat yang dibaca," titah baginda pada Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 1440 Hijrah/Tahun 2019 di sini, malam ini.

Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke majlis itu. Turut hadir ialah Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sultan Mizan turut bertitah, semenjak majlis itu dilangsungkan dalam tempoh 62 tahun lalu, hasil daripada penganjuran itu menjadi penggerak kepada usaha-usaha pembelajaran al-Quran secara lebih luas oleh pelbagai pihak sebagaimana yang dituntut oleh ajaran Islam.

“Beta percaya bahawa kedatangan rakyat ke majlis ini bukan sekadar untuk mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci yang diperdengarkan qari dan qariah tetapi juga untuk memahami dan mengamal serta menghayati pengajaran daripada ayat-ayat itu.

“Pada kesempatan ini, Beta juga berharap supaya diusahakan mengenai periwayatan kisah tokoh-tokoh tarannum dan penglibatan qari dan qariah Terengganu dalam majlis tilawah Al-Quran sejak dahulu sehingga kejayaan mereka terpahat dalam catatan sejarah buat tatapan generasi kini dan akan datang,” titah baginda

Artikel Berkaitan:

Johan qari Majlis Tilawah peringkat Terengganu disandang Abdul Hadi Che Abd Halim dari Kuala Terengganu, manakala johan qariah dimenangi Nor Hidayah Abd Rahman dari daerah Setiu.

Johan qari dan qariah masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000, piala iringan danpusingan serta sijil penghargaan.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!