Pencarian hari ketiga warga emas hilang
SIK - Operasi mencari seorang warga emas yang hilang di Kampung Charuk Padang masih diteruskan pada hari ketiga hari ini membabitkan 55 anggota penyelamat termasuk pegawai dari pelbagai agensi.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Razak Osman berkata, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat seorang warga emas berusia 81 tahun yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 28 Oktober lalu.
Menurutnya, empat ekor anjing pengesan dari Unit K9 PDRM dan K9 JBPM digunakan bagi mengesan mangsa.
"Operasi mencari dan menyelamat masuk hari ketiga hari ini diperluaskan melibatkan kawasan pencarian di bahagian sungai sepanjang 10 kilometer dan sekeliling kampung sejauh tiga kilometer di hutan dengan dibantu Unit K9,"katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang petunjuk ditemui setakat ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pencarian diteruskan di permukaan air dan kawasan belukar berhampiran.
Menurutnya, operasi turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melalui kaedah penyelamatan dengan teknik 'body searching'.
Operasi pencarian turut dibantu penduduk kampung.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan mangsa, Ek Liau Din Tin, 81, kali terakhir dilihat berada di dangau di hadapan rumahnya kira-kira jam 3 petang Rabu lalu.
Mangsa mengalami masalah nyanyuk dan tidak pernah keluar rumah.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Ayah hilang sejak semalam'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!