MPM harap 30 atlet paralimpik ke Tokyo 2020
JAWATANKUASA Penganjuran Tokyo 2020 memberi jaminan bahawa segala persiapan penganjuran Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik 2020 sedang giat dilakukan.
Menurut kenyataan dikeluarkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), tuan rumah Tokyo 2020 menyatakan jaminan itu ketika sesi Webinar Ketua Kontinjen (CDM) Paralimpik Tokyo 2020 kelmarin.
Sesi itu melibatkan 165 wakil negara dari seluruh dunia termasuk Malaysia yang diwakili Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Menurut kenyataan itu, segala aspek perancangan akan dikemas kini dari masa ke masa, untuk memastikan Jepun bersedia menyambut kehadiran kontinjen dari 165 negara selain membolehkan temasya itu dilangsungkan dengan teratur dan terbaik.
“Kami menjangkakan beberapa atlet lagi akan melayakkan diri, antaranya daripada sukan Para badminton, powerlifting dan berbasikal Para.
"MPM ingin menyeru semua atlet Para supaya meningkatkan intensiti latihan, setelah Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) mengesahkan tempoh kelayakan ke temasya Tokyo 2020 dibuka semula dari Januari hingga Mei 2021.
“Kami menaruh harapan tinggi untuk menghantar 30 atlet dan pegawai ke temasya itu. Untuk edisi Rio 2016, Malaysia menghantar 21 atlet.
"MPM akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara, untuk memastikan atlet Para negara melakukan persiapan sebaik mungkin untuk ke temasya itu,” kata Megat D Shahriman.
Setakat ini, seramai sembilan atlet Malaysia layak ke Sukan Paralimpik Tokyo, melibatkan empat daripada sukan olahraga, memanah (2), Boccia (1) dan renang (2).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!