Sejarah kontroversi Pilihan Raya Presiden AS

No Image Caption
A
A
A

WASHINGTON - Gabungan pandemik koronavirus (Covid-19) dan tuduhan penipuan undi oleh parti Demokrat yang dilemparkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencetuskan amaran kemungkinan Pilihan Raya Presiden AS 2020 menyaksikan sejarah kontroversi pemilihan pucuk pimpinan negara itu berulang.

Berdasarkan sejarah AS, rakyat Amerika telah memilih Presiden untuk memegang tampuk pemerintahan negara itu sebanyak 58 kali.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak empat kali keputusan Pilihan Raya Presiden tidak dapat diputuskan atau dipertikaikan yang jelas menguji asas undang-undang demokrasi negara berkenaan.


1800

Dewan Perwakilan undi 35 kali gara-gara keputusan seri

No Image Caption

Pilihan Raya Presiden keempat AS berakhir dengan keputusan seri dengan Thomas Jefferson dan Aaron Burr masing-masing menerima 73 undi elektoral (electoral vote).

Jika keputusan berlaku sedemikian, Perlembagaan AS akan menyerahkan kuasa kepada Dewan Perwakilan untuk melantik presiden dan setiap perwakilan negeri akan memperoleh satu undi digelar pemilihan luar jangka (contingent election).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pengundian yang bermula pada Februari 1801 menunjukkan Jefferson dan Burr gagal meraih lebih lapan sokongan daripada 16 negeri yang wujud pada masa tersebut.

Susulan itu, anggota Dewan Perwakilan terpaksa mengundi sebanyak 35 kali sepanjang tempoh lebih seminggu dan keputusan menunjukkan Jefferson hanya memperoleh lapan undi dan gagal meraih majoriti yang diperlukan.

Pada pengundian kali ke-36, Jefferson akhirnya memenangi undi 10 negeri sekali gus dilantik sebagai Presiden ketiga AS oleh Dewan Perwakilan manakala Burr dilantik sebagai Naib Presiden di bawah pentadbiran beliau.


1824

Pemilihan luar jangka

No Image Caption

Andrew Jackson memenangi undi popular dan undi terbanyak dalam Badan Perwakilan Pemilih antara empat calon presiden yang bertanding, namun beliau tidak meraih majoriti 131 undi elektoral yang diperlukan untuk mengisytiharkan kemenangannya.

Keputusan itu membawa kepada pengundian di Dewan Perwakilan yang kemudiannya melantik John Quincy Adams sebagai Presiden keenam AS.


1876

Pertikaian paling sengit

No Image Caption

Pilihan Raya Presiden AS paling kontroversi adalah pada 1876 yang menyaksikan persaingan antara calon Republikan, Rutherford B Hayes dan Samuel J Tilden mewakili Demokrat.

Di negeri selatan, proses pengundian berdepan ancaman kekerasan oleh Demokrat yang mahu memastikan pengundi kulit hitam tidak menunaikan tanggungjawab mereka.

Demokrat turut menghasilkan kertas undi tertera gambar Presiden Republikan popular, Abraham Lincoln untuk memperdaya pengundi buta huruf memilih Tilden.

Tilden yang merupakan Gabenor New York pada masa itu mendahului dengan lebih 260,000 undi popular, namun kekurangan satu undi elektoral untuk menewaskan Hayes.

Kedua-dua mereka juga mendakwa kemenangan masing-masing di tiga negeri menjadi pertikaian; Louisiana, Florida dan South Carolina yang mewakili 19 undi elektoral.

Ketika itu, Kongres tidak mempunyai prosedur untuk menyelesaikan pertikaian tersebut hingga membawa kepada penubuhan sebuah suruhanjaya terdiri daripada 15 anggota mewakili Dewan Perwakilan, Senat dan Mahkamah Agung.

Suruhanjaya itu akhirnya memberikan kemenangan dengan jumlah 185-184 Badan Perwakilan Pemilih (Electoral College System) kepada Hayes sekali gus melantik beliau sebagai Presiden ke-19 AS.

Demokrat bagaimanapun hanya menerima keputusan itu selepas Republikan bersetuju untuk memanggil pulang saki-baki pasukan tentera AS yang menyertai Perang Saudara di negeri selatan.

Kompromi itu turut membawa kepada pelaksanaan undang-undang ‘Jim Crow’ yang mengesahkan pemisahan kaum dan diskriminasi untuk tempoh seabad lagi.


2000

Kiraan semula undi di Florida

No Image Caption

Pemilihan paling sengit ketika era moden ini adalah antara calon Republikan, George W Bush dan Al Gore mewakili Demokrat.

Tiada siapa sangka keputusan tersebut akan ditentukan oleh 25 undi elektoral Florida.

Sejurus pusat mengundi ditutup di Florida, stesen TV mengisytiharkan Gore menang mudah di negeri tersebut, namun kiraan semula undi yang dilakukan menyaksikan peningkatan jumlah undian sokongan terhadap Bush.

Pada keesokan harinya, proses kiraan semula undi mendapati Bush mendahului Gore hanya dengan beberapa ribu undi.

Pegawai kempen Gore kemudiannya meminta pegawai pilihan raya di empat daerah terbesar Florida untuk mengira semula undi secara manual yang mengambil masa selama beberapa minggu.

Tiga minggu selepas pilihan raya itu berlangsung, Florida mengesahkan kemenangan Bush dengan 537 undi.

Gore bagaimanapun mempertikaikan keputusan itu dan menyebabkan Mahkamah Tinggi di Florida mengarahkan kiraan semula kertas undi yang tidak diterima mesin penghitung.

Pada 12 Disember 2000, Mahkamah Agung AS menghentikan proses tersebut, enam hari sebelum Badan Perwakilan Pemilih mahu mengadakan pertemuan.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah terbabit mendakwa Perlembagaan telah dilanggar oleh standard kiraan yang berlainan yang digunakan di daerah berbeza.

Gore yang dilantik sebagai Naib Presiden di bawah pentadbiran Bush yang dilantik sebagai Presiden ke-43 AS akhirnya akur dengan keputusan tersebut. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!