15 mangsa banjir kilat dipindahkan ke PPS
KOTA TINGGI - Hujan lebat selama beberapa jam mengakibatkan banjir kilat di Kampung Bukit Raja, Pengerang dekat sini hari ini.
Banjir kilat yang berlaku kira-kira jam 4 petang itu mengakibatkan air naik setinggi satu kaki menyebabkan beberapa buah rumah terjejas.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dihantar ke lokasi.
Komander Operasinya, Penolong Penguasa Bomba Khairul Sufian Dahari berkata, pihaknya memindahkan mangsa yang terperangkap di kediaman ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Teluk Ramunia.
"Setakat jam 7 petang tadi seramai 15 mangsa ditempatkan di PPS tersebut melibatkan enam lelaki dewasa, enam wanita dewasa, seorang lelaki warga emas, seorang wanita warga emas dan seorang kanak-kanak lelaki.
"Operasi masih dijalankan sehingga kini dan pemantauan terus dilakukan di kampung itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!