GLC, GLIC diminta pesatkan ekonomi

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sudah tiba masanya untuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk memberikan sumbangan lebih besar dan membantu negara bagi mengharungi cabaran ekonomi semasa susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sumbangan GLC dan GLIC kepada ekonomi negara amat penting namun kerajaan memerlukan sokongan yang lebih besar daripada entiti perniagaan kerajaan itu ketika ini.

“Kerajaan memerlukan sokongan daripada sektor swasta serta GLC dan GLIC. Saya rasa pemimpin GLC dan GLIC kena buat perubahan minda pada ketika ini kerana berlaku tekanan kepada ekonomi dan rakyat berada dalam kesusahan.

“Kerajaan akan lakukan apa yang boleh tetapi GLC dan GLIC juga perlu bantu untuk menghidupkan semula ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan sebagainya. Saya yakin usaha ini akan banyak membantu negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara Sinar Ahad yang dikendalikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin; Penolong Pengarang Pengisian Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan wartawan Norshahzura Mat Zuki di Kementerian Kewangan di sini baru-baru ini.

Menurut Tengku Zafrul, beliau kini sudah memulakan rundingan dengan GLC dan GLIC dan meminta supaya semua pemimpin organisasi terbabit untuk memberikan maklum balas mengenai bantuan yang akan diberikan bagi memesatkan ekonomi negara.

“Saya sudah mula berunding dengan GLC dan GLIC beberapa minggu lepas dan sekarang adalah masa untuk mereka memimpin dan menunjukkan bahawa Indeks Prestasi Utama (KPI) GLC dan GLIC bukan sahaja untuk mencatatkan keuntungan semata-mata.

“Buat masa ini kita masih dalam peringkat perbincangan untuk mengetahui bagaimana mereka boleh membantu ekonomi dan rakyat kita. Saya rasa ini penting tetapi ia masih dalam perbincangan,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul (kanan) ketika ditemubual Baharom (dua dari kanan), Junhairi (dua dari kiri) dan Norshahzura (kiri) dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Putrajaya baru-baru ini.
Tengku Zafrul (kanan) ketika ditemubual Baharom (dua dari kanan), Junhairi (dua dari kiri) dan Norshahzura (kiri) dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Putrajaya baru-baru ini.

Menurut beliau, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang masih kukuh pada ketika ini tidak seharusnya melihat dari aspek keuntungan semata-mata tetapi melaksanakan lebih banyak pembangunan ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan pelaburan.

“Saya tidak mahu GLC dan GLIC ini memperlahankan pelaburan mereka apabila melihat keadaan ekonomi semasa.

“Ini tidak boleh berlaku kerana kerajaan sendiri meningkatkan perbelanjaan pembangunan kerana kita mahu kesannya kepada ekonomi.

“GLC perlu membelanjakan lebih banyak perbelanjaan modal atau melabur dalam projekprojek pembinaan misalnya.

“Ia akan memberikan kesan limpahan ekonomi yang tinggi dan besar. Jangan tangguhkan, saya mahu pastikan mereka mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak ada pemimpin-pemimpin dalam syarikat berkenaan yang mungkin tidak bersetuju dengan hasrat tersebut tetapi sebenarnya ini adalah masa yang paling sesuai untuk mereka menunjukkan kemampuan mereka untuk menolong rakyat dan ekonomi.

“Ada (pihak pengurusan) GLC dan GLIC yang tidak setuju tetapi ini adalah masa mereka menunjukkan kepimpinan GLC dan syarikat di bawah mereka yang masih mampu menolong rakyat dan ekonomi,” jelasnya.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut diminta mengulas mengenai gaji ketua pegawai eksekutif GLC dan GLIC yang terlalu tinggi. Beliau menjelaskan, kerajaan tidak akan campur tangan mengenai perkara itu tetapi hanya akan memberikan saranan kepada mereka.

“Untuk berlaku adil, saya perlu menyatakan ada GLC yang sudah melakukan pemotongan gaji.

“Saya juga tahu ada sesetengah syarikat lain pun buat tetapi mereka tidak buat pengumuman rasmi kerana takut orang tahu mengenai gaji.

“Sektor minyak dan gas juga kena (potong gaji). Saya berharap dari segi pentadbiran, lembaga pengarah yang membuat keputusan, kerajaan tidak boleh kacau. Lembaga pengarah perlu bertindak dengan sewajarnya,” kata Tengku Zafrul.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!