Rumah mudah dimasuki pencuri
KUALA PILAH - Sepasang suami isteri gembira apabila kediaman mereka yang uzur di Kampung Malan, Johol mendapat perhatian Persatuan Kami Sepakat Bakti (KSB) yang bergotong-royong membaik pulih rumahnya.
Khafiz Sabtu, 47, dan isterinya, Azimah Abdullah, 38, adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menghuni rumah terbabit sejak 10 tahun lalu.
Khafiz berkata, dia dan isterinya bersyukur dan berterima kasih kepada KSB atas bantuan yang dihulurkan sekaligus mengelakkan kediamannya dimasuki pencuri.
"Sudah dua kali tong gas rumah dicuri orang, dengan keadaan pintu rumah yang telah uzur dan hampir roboh membolehkan pencuri masuk ke rumah. Rumah ini merupakan rumah ibu mertua yang mana diamanahkan kepada kami selepas kami berkahwin.
“Saya hanya bekerja mengambil upah menoreh getah manakala isteri pula tak bekerja. Mustahil bagi kami untuk membaik pulih rumah ini," katanya.
Sementara itu, Setiausaha KSB, Norhayati Abdullah berkata, keadaan pintu rumah yang telah uzur dan hampir roboh dikenal pasti menjadi punca pencuri boleh masuk ke rumah mereka dengan mudah.
"Berita kecurian tong gas kami ketahui awal tahun ini, maka kami sepakat bergotong-royong baik pulih pintu rumah ini.
“Dalam masa sama, kita membaik pulih lantai rumah yang telah rosak dan berlubang bagi menjamin keselesaan suami isteri terbabit,” katanya.
Norhayati berkata, pasangan suami isteri terbabit telah berkahwin lebih 10 tahun dan masih belum dikurniakan cahaya mata wajar dibantu memandangkan mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap.
“Bagaimanapun, bantuan ini adalah sekadar mampu kerana KSB tiada sumber kewangan yang mana keperluan bahan bina seperti pintu, pasir dan keperluan lain kita guna wang sumbangan ahli KSB manakala simen disumbangkan Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA).
“Tenaga kerja sepenuhnya ahli KSB dan sekurang-kurangnya dapat jamin keselamatan pasangan ini tinggal di sini,” katanya.
KSB ditubuhkan sejak setahun lalu dan mempunyai ahli seramai 20 orang dan mereka aktif menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan seperti miskin, daif dan sakit dengan menggunakan sumber kewangan sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!