Pasukan Covid-19 Hospital Sungai Buloh terima Anugerah Kesihatan Global
KUALA LUMPUR - Pasukan Covid-19 Hospital Sungai Buloh, Selangor mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020 baru-baru ini berikutan usaha mereka memerangi pandemik itu.
Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit, Dr C. Suresh Kumar dan Ketua Jabatan Anestesia dan Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh, Dr Shaiful Azman Zakaria, kedua-duanya menerima anugerah itu sebagai pejuang Covid-19.
Berita gembira itu dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi media sosialnya semalam.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Suresh Kumar dan Dr Shaiful Azman dan seluruh pasukan Covid-19 di Hospital Sungai Buloh atas pengiktirafan di Global Health Awards 2020. Pencapaian yang sangat membanggakan! Negara mengucapkan terima kasih atas dedikasi, pengorbanan dan kecemerlangan yang ditunjukkan dalam usaha kita bersama-sama memerangi koronavirus (Covid-19),” katanya.
Menurut laman sesawang Anugerah Kesihatan Global, anugerah Asia Pasifik serantau itu bertujuan untuk mengiktiraf syarikat dalam pelbagai pasaran serantau yang mengekalkan piawaian yang tinggi secara konsisten dalam menyampaikan penjagaan berkualiti untuk menggembirakan pelanggan mereka di setiap peringkat dan dalam setiap interaksi.
Hospital Sungai Buloh ditetapkan sebagai hospital utama Covid-19 Malaysia sejak pandemik itu melanda negara pada Mac 2020.
Dr Suresh Kumar mempunyai pengalaman lebih 15 tahun sebagai perunding penyakit berjangkit di Hospital Sungai Buloh manakala Dr Shaiful Azman mengkhusus dalam bidang anestesiologi dan rawatan rapi sejak 1996 dan pernah bekerja di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kelantan.
Dr Sureh Kumar baru-baru ini berada di Sabah bagi membantu membendung penularan pandemik COVID-19 di negeri itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!