Piala Malaysia: Skuad Warga Kota enggan letak sasaran tinggi

Pemain Kuching FA, Yuki Tanigawa (kanan) mengasak pemain Kuala Lumpur, Zhafri Yahya pada perlawanan CIMB Liga Perdana Malaysia 2020 di Stadium Hang Jebat Krubong malam tadi. - Foto Bernama
Pemain Kuching FA, Yuki Tanigawa (kanan) mengasak pemain Kuala Lumpur, Zhafri Yahya pada perlawanan CIMB Liga Perdana Malaysia 2020 di Stadium Hang Jebat Krubong malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Pengendali Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff enggan meletakkan sasaran tinggi pada kempen Piala Malaysia 2020 yang dijadual bermula 6 November ini, namun berharap pasukan bimbingannya mampu mencipta kejutan di pusingan pertama saingan tersebut.

Beliau berkata, tumpuannya kini mahu pemainnya memperbaiki segala kelemahan selepas tumpas 0-2 kepada Kuching FA pada aksi terakhir Liga Premier di Stadium Hang Jebat di sini, malam tadi, sekali gus menyaksikan skuad warga kota itu menamatkan cabaran liga di tangga ketiga.

"Sudah tentu, kami perlu lebih bersedia selain meningkatkan lagi mutu permainan (bagi menghadapi kempen Piala Malaysia)," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, Kuching FA di bawah kendalian Akira Higashiyama meraih kemenangan kelima berturut-turut menerusi jaringan Bryan Anicezio pada minit ke- 21 dan Yuta Suzuki (minit ke-34).

Mengulas mengenai perlawanan itu, Nidzam Adzha kecewa dengan keputusan itu dan mengakui kesilapan yang dilakukan pemainnya membawa padah sehingga membenarkan pihak lawan memanfaatkan peluang menjaringkan gol walaupun mereka beraksi dengan baik pada awal permainan.

Dalam pada itu, jurulatih kelahiran Taiping, Perak berusia 52 tahun itu berkata, selain mempersiapkan pasukannya bagi menghadapi saingan Piala Malaysia 2020, beliau juga akan memastikan anak buahnya dapat memberi cabaran selepas layak beraksi dalam Liga Super 2021

Sementara itu, Akira mengakui prestasi Kuching FA pada awal liga tidak begitu memuaskan namun pemainnya berjaya bangkit dan menamatkan baki lima perlawanan dengan mengutip mata penuh.

Pengendali dari Jepun itu berkata, akan memberi fokus untuk menganalisa pasukan lawan dalam tempoh yang singkat ini sebagai persiapan sebelum sepak mula Piala Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Format Piala Malaysia musim ini terpaksa diubah kepada saingan kalah mati sejak pusingan pertama melibatkan 16 pasukan iaitu 11 pasukan Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Premier.

Undian Piala Malaysia akan berlangsung hari ini dengan perlawanan pusingan pertama bermula pada 6, 7 dan 8 November, suku akhir (12 dan 13 November), separuh akhir (17 November) dan aksi final pada 22 November ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!