Perolehan hasil padi susut
YAN - Perolehan hasil padi yang susut sehingga 50 peratus membuatkan petani hidup dalam keresahan.
Petani, Ismail Zain berkata, ini disebabkan keranan tanaman mereka diserang tikus dan juga Penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB).
Katanya, fenomena serangan tikus serta berbagai penyakit bawaan virus sangat sukar dikawal oleh pesawah.
“Selain serangan penyakit yang sukar dikawal, kami juga berdepan dengan masalah rumput dan padi angin yang sudah tidak kalis terhadap racun.
“Keadaan ini sangat merunsingkan kerana kami sudah tidak tahu penawar yang sesuai untuk mengawal penyakit yang menyerang tanaman padi kami,” katanya.
Menurut Ismail, keadaan ini menyukarkan kehidupan mereka yang hanya bergantung harap pada hasil padi.
“Serangan tikus yang semakin meningkat sejak empat musim berturut-turut. Ia mula menyerang tanaman padi sejak daripada proses menabur sehinggalah sampai kepada peringkat padi sedang ‘bunting’.
“Populasi tikus yang naik mendadak membuatkan ianya sukar dikawal walaupun dengan menggunakan racun kimia serta memasang perangkap,” katanya.
Masalah petani bakal dibawa ke MB
Sementara itu, wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Mohd Rosdi Yahya berkata, pihaknya telah mendrafkan masalah berkaitan pesawah di daerah Yan untuk dikemukakan kepada Menteri Besar Kedah ketika perjumpaan 11 Februari nanti.
Mohd Rosdi berkata, pihaknya turut menerima beberapa laporan daripada petani mengatakan padi mereka tidak berisi.
“Keadaan ini berlaku adalah disebabkan oleh serangan ulat kisar, manakala di sesetengah kawasan sawah di pinggir pantai pula mengalami masalah tanah jerlus.
“Keadaan ini menyebabkan jentuai tidak dapat masuk untuk memotong padi dan kesannya padi yang sudah masak menjadi ranum.
“Ini menyebabkan berat buahnya menyusut akibat terlalu lewat dituai kerana terpaksa menunggu tanah sawah kering untuk membolehkan jentuai masuk beroperasi,” jelasnya.
Peningkatan nilai subsidi tidak membantu
Menurut Mohd Rosdi, peningkatan nilai subsidi sebanyak RM60 per tan yang diumumkan dalam bajet baru-baru ini dilihat tidak membantu kerana perolehan hasil padi didapati merosot 40 sehingga 50 peratus.
Tambah Mohd Rosdi, tekanan hidup yang sedang diharungi oleh pesawah di kawasan jelapang padi sungguh mengharukan.
“Kelompok miskin ini akan terus kekal miskin apabila pendapatan tidak dapat menyaingi kos sara diri yang meningkat tinggi secara mendadak akibat masalah ekonomi dalaman dan global.
“Golongan ini seolah-olah terperangkap dan tidak mampu mencari jalan alternatif untuk keluar dari kepompong atau perangkap kemiskinan yang mereka warisi sejak turun-temurun,” katanya.
Mohd Rosdi berkata, 80 peratus pesawah padi hidup dalam berhutang, baik kepada orang tengah, mahupun agensi tertentu.
“Insya-ALLAH Pertubuhan Pesawah seperti kami akan terus berfungsi untuk mengangkat dan membela masalah pesawah di seluruh negara kepada pihak berwajib,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!