Kerajaan PN perlu pastikan Belanjawan 2021 dilulus dengan lancar

Parlimen Malaysia
Parlimen Malaysia
A
A
A

YANG sepatutnya diutamakan oleh kerajaan Perikatan Nasional sekarang adalah memastikan Belanjawan 2021 dirangka, dibentang dan diluluskan dengan lancar.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah pun bertitah berkenaan hal itu manakala Pakatan Harapan dan Umno telah menyatakan kesediaan mereka berunding dengan kerajaan mengenainya.

Adalah tidak wajar malah nampak sangat "ke-desperado-an" Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin, apabila dia terus mengungkit mengenai darurat.

Cukuplah! Yang di-Pertuan Agong sudah tolak. Lagi pun, kalau kita tengok reaksi di media sosial, majoriti tidak setuju darurat diisytiharkan.

Kita boleh baca media arus perdana (MAP).Tapi kita kena berhati-hati tentang kemungkinan MAP kembali dikawal oleh kerajaan.

Kalau orang Melayu-Islam tidak mahu terus ditipu dan diperalatkan oleh kerajaan yang terdesak (desperate) dan ahli politik yang putar-belit, mereka kena lebih banyak membaca dan berfikir seperti yang dikehendaki oleh agama mereka.

Misalnya tentang percubaan Muhyiddin dalam amanatnya semalam mengenai kaitan antara darurat dengan pilihan rakyat kecil Batu Sapi di Sabah dan pilihan raya negeri di Sarawak.

PRK Parlimen Batu Sapi menang tidak dapat dielakkan daripada diadakan ketika wabak Covid-19 masih serius di Sabah. Tapi risikonya tidak sebesar PRN 26 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Tapi PRN Sarawak tidak perlu diadakan segera melainkan kerajaan negeri Sarawak ada sebab tertentu mahu menyegerakannya.

Ini adalah kerana tempoh laku Dawan Undang Negeri Sarawak masih agak panjang iaitu sembilan bulan lagi. PRN Sarawak boleh diadakan sebelum atau pada 7 Ogos 2021.

Insya Allah menjelang saat itu, masalah Covid-19 sudah diatasi atau lebih terkawal dengan syarat kita semua memberi kerjasama.

Selain meluluskan Belanjawan 2021, satu lagi cabaran yang kerajaan PN harus berani hadapi adalah membenarkan kesahannya (legitimacy) diuji melalui undi percaya dan tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Maksudnya, semua pihak akan berusaha meluluskan Belanjawan 2021 supaya pentadbiran negara tidak terjejas tetapi dengan kefahaman (understanding) bahawa perbahasan usul-usul percaya dan tidak percaya terhadap Perdana Menteri akan dibenarkan dan disegerakan. Dalam hal ini, tindak-tanduk Yang di-Pertua Dewan, Azhar Azizan Harun, akan terus diteliti.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!