Staf Menara UOB positif Covid-19

Menara UOB. Foto: Sumber internet
Menara UOB. Foto: Sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) hari ini mengesahkan seorang kakitangannya di Menara UOB, Jalan Raja Laut di sini telah disahkan positif koronavirus (Covid-19).

UOB Malaysia berkata, kakitangan tersebut tidak berhadapan dengan pelanggan dan kini sedang menerima rawatan perubatan.

“Kami ingin memberi jaminan kepada semua pelanggan, kakitangan dan masyarakat bahawa kerja-kerja pembersihan yang menyeluruh sedang dijalankan di semua tingkat dan kawasan umum yang terlibat di Menara UOB selaras dengan garis panduan pihak berkuasa kesihatan.

“Kami juga ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kejadian ini tidak mengganggu perkhidmatan yang kami sediakan memandangkan bahawa bank telah melaksanakan pelan kesinambungan perniagaan yang mantap,” kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, UOB Malaysia berkata, sembilan cawangannya yang ditutup sementara dari 21 Oktober 2020 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang disasarkan akan kembali beroperasi pada 2 November ini dengan waktu operasi yang lebih pendek.

Ini termasuk tiga cawangan di Kuala Lumpur (Jalan Imbi, Medan Pasar dan Kepong), empat cawangan di Selangor (Kota Damansara, Shah Alam, Ijok dan Jalan Othman, Petaling Jaya) dan dua cawangan di Sabah (Tuaran dan Sandakan).

“Semua cawangan ini akan dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 2.00 petang, Isnin hingga Jumaat, manakala kemudahan perbankan layan diri akan disediakan dari jam 6 pagi hingga 6 petang setiap hari.

“Kami akan terus melakukan segala usaha untuk membantu melindungi kesejahteraan kakitangan, pelanggan dan masyarakat dalam keadaan yang mencabar ini,” kata bank itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!