Uptown Kota Damansara lengang

Kawasan medan selera di Uptown Kota Damansara kebiasaannya dipenuhi pengunjung terutama ketika awal bulan tetapi kini dilihat lengang.
Kawasan medan selera di Uptown Kota Damansara kebiasaannya dipenuhi pengunjung terutama ketika awal bulan tetapi kini dilihat lengang.
A
A
A

PETALING JAYA – Aktiviti perniagaan khususnya di bazar malam yang dibuka di bandar raya ini terkesan teruk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang sejak tiga minggu yang lalu.

Tinjauan Sinar Harian malam tadi di kawasan membeli-belah popular di Lembah Klang, Uptown Kota Damansara atau lebih dikenali sebagai segitiga emas itu didapati lengang berbanding sebelum PKPB.

Situasi itu menyebabkan kira-kira 300 peniaga yang mencari rezeki di situ terpaksa menerima hakikat bahawa jumlah pengunjung semakin berkurangan lebih-lebih lagi berlaku peningkatan jumlah positif jangkitan koronavirus (Covid-19) dalam negara.

Peniaga kedai pakaian Ori Reject, Mohd Hafizal Nawi, 31, berkata, beliau terpaksa menggunakan alternatif lain bagi memastikan kelangsungan perniagaan daripada menunggu pelanggan datang ke kedai seperti kebiasaannya.

Situasi semasa Uptown Kota Damansara yang dirakam malam tadi sunyi daripada kehadiran pengunjung.
Situasi semasa Uptown Kota Damansara yang dirakam malam tadi sunyi daripada kehadiran pengunjung.

“Saya baru hendak 'bernafas' sedikit selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac, tiba-tiba sekali lagi macam ini, terpaksalah saya menumpukan kepada jualan melalui online dan grup WhatsApp,” katanya.

Mohd Hafizal yang sudah berniaga di situ selama 15 tahun turut mengakui situasi peniaga sepertinya amat sukar kerana masih perlu membayar sewa tapak setiap bulan.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana masih mempunyai pelanggan tetap yang sentiasa menyokongnya sejak sekian lama.

Artikel Berkaitan:

Peniaga makanan DNA Burrito, Muhamad Aizudin Nordin, 27, pula akur dengan saranan kerajaan yang menetapkan perniagaan yang dilakukan hanya boleh beroperasi sehingga jam 10 malam.

"Tapi saya masih berharap tempoh itu dapat dilanjutkan hingga ke jam 12 malam.

“Peniaga makanan di sini mempunyai tempoh beberapa jam sahaja untuk berniaga kerana operasi bermula jam 5 petang. Pasti pengunjung yang datang mahu menikmati hidangan malam. Tempoh masa yang pendek menyebabkan mereka tidak berminat untuk datang,” katanya.

Seorang lagi peniaga makanan barat, Wak & Wok, Mohd Farid Baharin, 35, yang baru dua bulan berniaga di situ turut tidak menyangka pandemik Covid-19 yang naik mendadak itu mengurangkan hasil jualannya.

Kesukaran kira-kira 300 peniaga di Uptown Kota Damansara mendapatkan pelanggan mengurangkan hasil jualan sejak gelombang ketiga pandemik Covid-19.
Kesukaran kira-kira 300 peniaga di Uptown Kota Damansara mendapatkan pelanggan mengurangkan hasil jualan sejak gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Lebih memeritkan katanya, pelaksanaan PKPB di Lembah Klang turut menjejaskan pendapatan.

“Ramai yang terpaksa ‘tutup kedai’ sementara sehingga 9 November ini kerana tidak mahu menanggung kerugian kerana perlu membeli barangan basah yang tidak boleh disimpan lama,” katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan Uptown Kota Damansara menawarkan diskaun sewa tapak kepada semua peniaga di situ kerana memahami betapa perit untuk mendapatkan pelanggan ketika PKPB,

Pengurus acara dan pemasaran Uptown Kota Damansara, Mohd Az-Zahir Azmi berkata, peniaga layak menerima diskaun sebanyak 50 hingga 70 peratus bergantung kepada harga sewaan.

“Ini merupakan salah satu usaha kami untuk mengurangkan beban peniaga yang terjejas akibat Covid-19.

"Kita juga sentiasa memberikan sokongan supaya mereka terus cekal dan tidak berputus ada dengan membuka perniagaan setiap hari meskipun situasi yang dialami cukup sukar,” katanya.

Ketiadaan pengunjung di Uptown Kota Damansara menyukarkan kira-kira 300 peniaga membuat modal pusingan termasuk membayar sewa bulanan.
Ketiadaan pengunjung di Uptown Kota Damansara menyukarkan kira-kira 300 peniaga membuat modal pusingan termasuk membayar sewa bulanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!