Tujuh ahli Parlimen prodemokrasi Hong Kong ditahan

Ahli Parlimen prodemokrasi, Eddie Chu (kanan) antara yang ditahan semalam berhubung insiden kekecohan semasa pembentangan RUU ekstradisi pada Mei lalu. Foto: AFP
Ahli Parlimen prodemokrasi, Eddie Chu (kanan) antara yang ditahan semalam berhubung insiden kekecohan semasa pembentangan RUU ekstradisi pada Mei lalu. Foto: AFP
A
A
A

HONG KONG - Pihak berkuasa Hong Kong awal hari ini menahan tujuh ahli Parlimen prodemokrasi yang mencetuskan kekecohan semasa pembentangan Rang Undang-undang (RUU) ekstradisi pada Mei lalu.

Anggota majlis perundangan, Wu Chi Wai, Andrew Wan, Helena Wong, Kwok Wing Kin, Eddie Chu, Raymond Chan dan Fernando Cheung mengumumkan penahanan mereka di laman Facebook masing-masing.

Kesemua mereka berdepan hukuman sehingga satu tahun penjara jika disabit bersalah.

Sementara itu, polis enggan mengulas lanjut sama ada mengambil tindakan sama terhadap ahli Parlimen pro-Beijing yang turut terbabit dalam kekecohan tersebut.

Pada 8 Mei lalu, pergaduhan tercetus apabila ahli Parlimen prodemokrasi dan majoriti pro-Beijing cuba untuk melakukan pendengaran berasingan berhubung rang undang-undang.

Ketika pergelutan berlaku, ada antara ahli Parlimen menaiki meja, saling memaki dan menghempap antara satu sama lain ketika pengawal keselamatan cuba meredakan keadaan.

Di bawah RUU itu, pesalah akan diekstradisi ke tanah besar China untuk proses perundangan.

Bagaimanapun, pembangkang bimbang RUU itu bakal menjejaskan hak dan undang-undang perlindungan di Hong Kong, kebebasan yang dijamin ketika ia diserahkan kepada pentadbiran China daripada Britain pada 1997.

Artikel Berkaitan:

Pada September lalu, Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam membatalkan sepenuhnya RUU itu susulan protes ganas selama bulan-bulan di seluruh negara. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!