Dua suspek babit nahas anggota polis dipercayai terlibat dadah

AYOB KHAN
AYOB KHAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua suspek yang dikejar kereta peronda (MPV) sehingga meragut nyawa seorang anggota polis di Jalan Kangkar Tebrau/ Jalan Tun Teja, pagi tadi dipercayai terlibat dengan pengedaran dadah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis menemui sebuah kereta Perodua Myvi berwarna ungu di tepi jalan Kampung Pandan, Taman Johor Jaya kira-kira tujuh kilometer dari lokasi nahas lebih kurang jam 10 pagi tadi.

Katanya, beberapa peralatan yang digunakan untuk memproses dadah turut ditemui dalam kenderaan itu.

"Polis percaya suspek masih berada di Johor dan kita akan berusaha memburu mereka.

"Difahamkan, kereta Perodua Myvi itu disewa atas nama seorang wanita. Polis yakin akan dapat mengenal pasti mereka yang terlibat dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas Majlis Penghormatan Terakhir Konstabel Nicholester Dadup Unggat di Balai Polis Bandar Dato Onn di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Konstabel Nicholester Dadup, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala manakala pemandu MPV, Lans Koperal Mohamad Fadhirul Musa, 32, cedera parah.

ARTIKEL BERKAITAN: Konstabel polis maut ketika kejar penjenayah

Artikel Berkaitan:

Ayob Khan menambah, pasukan forensik Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melakukan analisa ke atas kereta terbabit.

Katanya lagi, pihaknya akan berbincang dengan pengurusan di Bukit Aman untuk memberikan kenaikan pangkat secara posthumous atau anumerta kepada mendiang.

Jenazah mendiang akan diterbangkan ke Sibu dengan pesawat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 1 petang esok.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Sibu Jaya, Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Keluarga konstabel polis maut nahas masih terkejut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!