Covid-19: Sandakan, Tawau catat kes tertinggi

Datuk Seri Masidi Manjun
Datuk Seri Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Sandakan dan Tawau mencatat angka kes baharu positif koronavirus (Covid-19) tertinggi hari ini sekali gus menjadikan Sabah kekal sebagai negeri paling ramai dijangkiti wabak itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaporkan sebanyak 644 kes di Sabah hari ini dan jumlah kumulatif adalah sebanyak 15,692 kes.

"Sandakan mencatat sebanyak 199 kes dan jumlah yang tinggi ini berpunca daripada tunggakan sampel saringan yang diambil pada 23 hingga 26 Oktober lalu dan disusuli Tawau sebanyak 134 kes pada hari ini.

"Kota Kinabalu mencatat 91 kes, Kudat (63), Semporna (30), Putatan (17), Kota Belud (16), Penampang dan Keningau masing-masing catat 15 kes, Tuaran, Lahad Datu dan Beaufort catat 13 kes, Papar (8), Keningau dan Kunak catat enam kes, Kota Marudu (3) dan Ranau (2)," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Masidi turut memaklumkan, bagi mengekang penularan wabak di Pusat Tahanan Sementara (PTS), JKNS telah membuat kawalan jangkitan pandemik itu di tiga PTS lagi di Sabah.

"Tiga PTS itu adalah di Tawau, Papar dan Kota Kinabalu.

"Bagi PTS di Kota Kinabalu, saringan secara bersasar melibatkan sebahagian orang tahanan dan anggota keselamatan yang bertugas di PTS itu telah dibuat dan dikuarantin di kawasan PTS," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 644 kes baharu positif Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini.
Sebanyak 644 kes baharu positif Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di PTS di Manggatal bermula Selasa ini hingga 16 November depan.

"PKPD ini melibatkan 1,820 tahanan dan 114 kakitangan. Semua aktiviti keluar dan masuk ke pusat tahanan serta lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan," katanya.

Masidi dalam pada itu turut memaklumkan tiga Pegawai Perubatan Pakar akan ditempatkan di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan, manakala 12 lagi Pegawai Perubatan akan ditempatkan di Hospital Tawau dan Hospital Queen Elizabeth serta embilan jururawat akan ditempatkan di Hospital Tawau.

"Sehingga hari ini, bantuan sumber manusia yang telah diterima JKNS adalah seramai 43 orang Pegawai Perubatan Pakar, 150 Pegawai Perubatan dan 255 jururawat tetap dan kontrak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!