Kebimbangan penduduk pencemaran Sungai Kenui berasas: ADUN Ketari

Young Syefura mengambil masa kira-kira tiga jam hari ini meninjau lokasi penerokaan tanah bagi tujuan pembalakan yang dikatakan sungai menjadi keruh. - Foto Twitter Young Syefura
Young Syefura mengambil masa kira-kira tiga jam hari ini meninjau lokasi penerokaan tanah bagi tujuan pembalakan yang dikatakan sungai menjadi keruh. - Foto Twitter Young Syefura
A
A
A

KUANTAN - Kebimbangan penduduk berhubung pencemaran Sungai Kenui di kawasan hutan Lentang Bentong kerana kerja-kerja penerokaan tanah bagi tujuan pembalakan ada asasnya.

Perkara itu diakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman yang meninjau lokasi itu hari ini.

Menurutnya, beliau difahamkan ada permohonan daripada pelesen untuk melakukan kerja-kerja mengeluarkan hasil hutan dari kawasan tersebut.

"Kita tidak mempersoalkan aktiviti pembalakan di kawasan ini tetapi kesal apabila kerja-kerja penerokaan tanah tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) sehingga menjejaskan alam sekitar dan mencemarkan anak sungai.

"Saya difahamkan arahan berhenti kerja sementara telah dikeluarkan untuk pihak terbabit melakukan kerja mitigasi terhadap cerun dan bukit yang ditarah.

"Bagaimanapun keadaannya masih sama dan air sungai juga keruh sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk. Kita tidak mahu ada pihak mengambil jalan mudah dengan melanggar SOP untuk mengaut keuntungan,"katanya ketika dihubungi hari ini.

Young Syefura juga bimbang perkara itu akan mengakibatkan masalah lebih serius termasuk air terjun yang keruh ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu.

Beliau berkata, tinjauan selama tiga jam dengan berjalan kaki di kawasan itu mendapati kawasan air terjun itu masih jernih tetapi aliran sungai selepas lokasi kerja-kerja penolakan tanah mulai tercemar.

Young Syefura berkata, pihaknya akan mengemukakan aduan rasmi kepada Pejabat Tanah Bentong dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang esok mendesak tindakan lebih tegas diambil kepada pihak yang merosakkan alam sekitar.

"Saya memang tidak puas hati dengan perkara yang berlaku di sini. Jadi kita harap pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya supaya isu kemusnahan alam sekitar akibat aktiviti pembalakan tidak berulang.

"Isu penerokaan hutan sama ada berlesen atau secara haram sering berlaku di negeri ini. Jadi ia perlu ditangani termasuk memantau kerja-kerja penerokaan tanah lebih awal bagi memastikan pihak terlibat mematuhi semua SOP," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!