Rumah Ngaji@Hj Sidek khas untuk warga emas
SEREMBAN - Sebuah rumah yang sudah tidak didiami hampir 10 tahun, kini bertukar wajah apabila pemiliknya menginfakkannya sebagai Rumah Ngaji@Hj Sidek di Taman Pinggiran Golf, di sini.
Pemiliknya, Nazipah Jaafar@ Hj Sidek berbuat demikian agar kediamannya itu dapat diimarahkan dengan aktiviti keagamaan seperti kelas al-Quran sekali gus membantu orang ramai belajar al-Quran daripada dibiarkan kosong dalam tempoh yang lama.
Rumah Ngaji@Hj Sidek ini merupakan Rumah Ngaji ke-24 di Negeri Sembilan dan dikhaskan untuk warga emas di sekitar perumahan dan komuniti berhampiran.
Penggerak Rumah Ngaji@Hj Sidek, Normawati Mohd Salleh berkata, ketika ini terdapat 30 peserta yang telah berdaftar di situ yang mana kelas al-Quran bermula setiap Isnin hingga Khamis.
"Bagaimanapun, kelas kita mengikut kesesuaian waktu yang mana tidak akan berlaku pertindihan dengan mana-mana aktiviti di sekitar seperti masjid ataupun balai raya.
"Kelas ini dijangka bermula Februari dan dijalankan secara percuma bagi lebih memudahkan bonda-bonda kita (warga emas) belajar al-Quran," katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Silaturahim di Rumah Ngaji@Hj Sidek, di sini, semalam.
Hadir sama Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim.
Dalam pada itu, Normawati berkata, pihaknya berharap komuniti berhampiran dapat manfaatkan Rumah Ngaji @Hj Sidek sepertimana yang dihasratkan pemiliknya yang kini menetap di Perak.
"Ini bagi membolehkan konsep ‘Baca, Faham dan Amal’ al-Quran disebar luaskan, terutamanya dalam kalangan keluarga. Apabila ia berjaya diperkasa, setiap keluarga mampu mengaji satu jam sehari bersama dengan bapa sebagai pemimpin," katanya.
Sementara itu, turut berlangsung pada majlis itu kempen 'Savings Families’ yang memberi fokus terhadap tiga misi iaitu bina syurga di rumah, rumah di syurga, berjuang masuk syurga sekeluarga iaitu setiap Rumah Ngaji akan menggerakkan misi yang sama.
Dalam masa sama, kempen We Are All Mary turut dilaksanakan yang mana Rumah Ngaji Negeri Sembilan dengan Wanita Perkim Seremban telah dipelawa menyertai Gabungan Wanita Malaysia untuk al-Quds dan Palestin sebagai memberi sokongan berterusan kepada wanita al-Quds yang berdepan dengan penjajahan Israel selama lebih 70 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!