Suami isteri tabah jaga dua anak istimewa

Mohammad Azhar dan Nurul Izzati Adawiyah perlu memantau kesihatan anak mereka sepanjang masa.
Mohammad Azhar dan Nurul Izzati Adawiyah perlu memantau kesihatan anak mereka sepanjang masa.
A
A
A

KULIM - Sepasang suami isteri reda bayi mereka 'pergi' apabila sampai masanya selepas dilahirkan berkepala besar selain sumbing di bibir dan hidung akibat lebihan cecair di bahagian otak.

Mohammad Azhar Arzemi, 28 dan Nurul Izzati Adawiyah Mohd Zaidi, 23, turut bersedia jika Muhammad Bilal Yusra berusia dua bulan meninggalkan mereka bila-bila masa apabila doktor menjangka bayi mereka hanya boleh bertahan selama lima hari selepas dilahirkan.

Bagaimanapun, pasangan menetap di Sungai Ular itu bersyukur dan merasakan keajaiban atas kekuasaan ALLAH apabila diberi kesempatan mengasihi anak istimewa mereka yang menghidap penyakit hydrocephalus, malah masih bernafas sehingga ke hari ini.

"Kami reda dan bersedia bila-bila masa sahaja jika sampai waktunya. Kami berdua memang dah berbincang untuk sama-sama menerima ketentuan ALLAH jika anak hanya dipinjamkan buat seketika.

"Doktor pun dah beritahu risiko yang kami perlu terima iaitu kemungkinan kehilangan bayi atau ibu yang melahirkan.

"Alhamdulillah, rasa macam ajaib apabila kedua-dua insan tersayang masih ada di sisi," kata Mohammad Azhar kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya semalam.

Menurutnya, antara keperluan yang sangat penting adalah picagari dan tiub khas yang dimasukkan melalui hidung dan mulut Muhammad Bilal Yusra ketika diberi susu.

"Peralatan ini perlu ditukar enam kali sehari. Puas kami cari kerana kebanyakan farmasi menjual tiub untuk kegunaan pesakit dewasa, mujur ada yang memberi," katanya.

Mohammad Azhar menunjukkan tiub khas yang sukar diperoleh kerana kebanyakan farmasi menjual tiub untuk pesakit dewasa.
Mohammad Azhar menunjukkan tiub khas yang sukar diperoleh kerana kebanyakan farmasi menjual tiub untuk pesakit dewasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nurul Izzati Adawiyah berkata, keadaan kesihatan Muhammad Bilal Yusra perlu dipantau sepanjang masa kerana cecair di otak semakin bertambah dan kepalanya membesar sehingga 65 sentimeter berbanding 39 sentimeter ketika awal kelahiran.

"Saya tidak mampu untuk mendukung Muhammad Bilal Yusra kerana beratnya bertambah sehingga 6 kilogram berbanding semasa lahir hanya 3.2 kilogram dan memerlukan bantuan suami terutama untuk mandi dan bagi susu, memandangkan bahagian kepala perlu diberi lebih tumpuan.

"Muhammad Bilal Yusra perlukan penjagaan eksklusif selain sensitif terhadap habuk dan kotoran. Sejak akhir-akhir ini kesihatannya merosot dan dia sentiasa menangis siang dan malam," katanya.

Selain Muhammad Bilal Yusra, anak sulung mereka, Nur Khaulah Al Azwar, 3, juga berstatus kurang upaya apabila disahkan menghidap goldenhar sindrom iaitu berdepan masalah pendengaran dan tulang belakang.

"Setakat ini, doktor memantau tahap kesihatan Nur Khaulah sebelum pembedahan implan dan membuka saluran telinga yang akan dibuat apabila umurnya mencecah 12 tahun dengan anggaran kos RM85,000.

"Nur Khaulah dilahirkan tanpa cuping telinga dan baru sahaja boleh berjalan. Disebabkan perlu penjagaan khusus terhadap dua anak istimewa ini, saya dan isteri tidak mampu keluar bekerja," katanya.

Menurutnya, selain berharap pertolongan ALLAH supaya dipermudahkan urusan kedua-dua yang memerlukan lebih perhatian dan kasih sayang, mereka turut mengharapkan bantuan daripada orang ramai untuk meneruskan kelangsungan hidup serta menampung keperluan perubatan.

Keadaan Mohammad Bilal Yusra yang dilahirkan dengan keadaan kepala membesar dan sumbing di mulut serta hidung.
Keadaan Mohammad Bilal Yusra yang dilahirkan dengan keadaan kepala membesar dan sumbing di mulut serta hidung.

"Dugaan ini cukup besar untuk kami, namun dengan sokongan keluarga serta bantuan semua, kami bertahan untuk terus kuat demi anak-anak.

"Solat hajat, bacaan Yasin, serta al-Quran menjadi peneman sepanjang masa, kami mohon rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik untuk dua anak kami," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun CIMB Bank milik Mohammad Azhar (7047468689).

Terdahulu, kedua-dua pasangan itu menerima kunjungan Pengurus Pasa Raya Econsave Taman Petani Jaya, Sungai Petani, Saparin Abu Seman yang menghulurkan bantuan berbentuk barangan keperluan harian bernilai RM1,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!