Wajibkah Agong ikut nasihat PM?

Selepas pertemuan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia. Gambar kecil: Abdul Hamid Mohamad
Selepas pertemuan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia. Gambar kecil: Abdul Hamid Mohamad
A
A
A

PADA 23 Oktober lalu, selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergegas ke Kuantan, Pahang untuk menyembahkan keputusan mesyuarat itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada 24 Oktober, Istana Negara mengeluarkan kenyataan media termasuk menyebut bahawa Seri Paduka Baginda berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan dikemukakan Muhyiddin.

Pada hari Ahad, 25 Oktober, keluarlah kenyataan media Istana Negara, “Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan Kerajaan sekarang berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak.

Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala 'politicking' yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara. Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.”

Saya percaya ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia Seri Paduka Baginda mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu untuk membincangkan cadangan mengeluarkan proklamasi darurat dan kemudiannya membuat keputusan menolaknya.

Ini menimbulkan dua persoalan undang-undang yang berkait dengan soalan sama ada Agong dikehendaki bertindak atas nasihat PM. Pertama, jika Seri Paduka Baginda dikehendaki bertindak atas nasihat PM yang bererti Agong mesti ikut nasihatnya, maka perbincangan dengan Raja-Raja Melayu tidak timbul lagi. Apa yang hendak dibincangkan lagi?

Nasihat

Kedua, jika Agong dikehendaki bertindak atas nasihat PM, Seri Paduka Baginda mestilah bersetuju dengan cadangan PM. Itulah makna istilah ‘mengikut nasihat’ dalam Perlembagaan.

Orang yang bukan peguam yang memahami perkataan ‘nasihat’ seperti makna biasa tentu berasa pelik. Tetapi, tentulah lebih diplomatik berkata ‘Raja hendaklah mengikut nasihat PM’ daripada ‘Raja hendaklah mengikut arahan PM.’

Mestikah Agong bertindak atas nasihat PM dalam mengeluarkan proklamasi darurat?

Perkara 40 antara lain memperuntukkan:

40 (1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini

(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;

(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,

Perhatikan, mengikut peruntukan Fasal (1) Agong dikehendaki mengikut nasihat PM melainkan tiga perkara yang tersebut dalam Fasal (2) (a), (b) dan (c) ditambah dengan yang keempat iaitu dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

Perhatikan apa yang disebut dalam perenggan (c), iaitu Agong cuma boleh menggunakan budi bicaranya untuk memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja. Yang lainnya mestilah atas nasihat PM. Ertinya, Agong tidak boleh atas budi bicaranya memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk membincang cadangan PM untuk mengeluarkan proklamasi darurat. Begitu kuat tangan Agong diikat.

Tidak cukup dengan itu, ditambah pula Fasal (1A) – lihat di atas. Fasal ini ditambah oleh Akta A885, seksyen 4, berkuat kuasa dari 24 06 1994. Tambahan itu dibuat semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi PM, tentulah untuk memastikan Agong mengikut cakapnya.

Klausa ‘dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini’ seolah-olah memberi sedikit ruang kepada Agong menggunakan budi bicaranya. Mari kita lihat sama ada ia boleh dipakai dalam mengeluarkan proklamasi darurat.

Perkara 150(1) memperuntukkan:

“150. (1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu pengisytiharan yang bermaksud sedemikian.

Perhatikan, Fasal (1) bermula dengan kata-kata ‘Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati’.

Ini memberi ruang untuk kita menghujahkan, pertama, sebelum seseorang itu boleh berpuas hati dengan sesuatu perkara, dia mestilah tahu perkara itu, berfikir mengenainya, meminta pandangan orang yang arif atau pakar mengenainya atau orang terdekat, jika diperlukan, menimbang semua faktor yang berkenaan dan membuat keputusan. Tidak ada sesiapa yang boleh dipaksa berpuas hati.

Kedua, peruntukan Perkara 40(1) adalah peruntukan umum. Di mana Perlembagaan menyebut ‘atas nasihat’ atau peruntukan itu silent, maka Agong hendaklah mengikut nasihat. Tetapi, jika sesuatu peruntukan itu menghendaki Agong berpuas hati mengenai sesuatu keadaan sebelum melakukan sesuatu, bagaimana Seri Paduka Baginda boleh berpuas hati jika mesti mengikuti apa yang dikehendaki oleh PM?

Dalam kata-kata lain, Perkara 40(1) tidak terpakai kepada Perkara 150(1) sebab Perkara 150(1) secara spesifik menghendaki Agong berpuas hati dengan perkara-perkara yang disebut itu sebelum mengeluarkan proklamasi darurat. Jika ungkapan ‘berpuas hati’ mempunyai makna yang sama dengan ungkapan ‘atas nasihat’ mengapa tidak menggunakan ungkapan ‘atas nasihat’ sahaja?

Semak dan imbang

Ketiga, Hakim-hakim England yang lebih biasa dengan sebuah negara tanpa perlembagaan bertulis dan hanya seorang Raja itu, kurang biasa dengan Perlembagaan bertulis Malaysia dan keadaan dan budaya Melayu seperti yang digambarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan media selepas mesyuarat tersebut:

“Raja-raja pemerintah menzahirkan penghargaan pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas sifat Seri Paduka Baginda memilih melakukan rundingan dan konsultasi sebelum memberikan sebarang perkenan dan menzahirkan apa-apa keputusan menyentuh perkara yang sangat penting. Semangat tersebut adalah selaras dengan budaya syura yang sangat dianjurkan oleh Islam ketika ummah menghadapi sesuatu persoalan yang memerlukan penyelesaian.

Dalam perjumpaan tersebut raja-raja telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus-terang dalam semangat saling menghormati, agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan, membantu Agong membuat ketetapan.

Raja-raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka Baginda untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.

Raja-raja turut menegaskan pentingnya prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang dan mengutamakan kebajikan rakyat jelata.

* Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara

>>> IKUTI SAMBUNGANNYA ESOK

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!