Kafan kita tidak berpoket
TERDAPAT satu poster di pejabat Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) yang bertulis ‘Kain kafan itu tidak berpoket, maka tidak boleh kita masukkan sesen pun untuk dibuat bekalan.’ Memang satu peringatan yang sangat bagus.
Kadang-kadang timbul juga rasa hairan melihat golongan yang bertungkus-lumus mengumpul harta tanpa mengira halal atau haram. Bagi mereka, asalkan masuk – seolah-olah harta boleh dibawa ke dalam kubur.
Bagi masyarakat Cina tradisional, suatu ketika dahulu mereka akan memasukkan pelbagai harta milik si mati ke dalam liang lahad bersama si mati.
Oleh itu, liang lahad perlu besar untuk menampung harta yang hendak dimasukkan sekali. Ia penting untuk menunjukkan darjat si mati ketika di dunia dan supaya diketahui orang lain di akhirat kelak.
Apabila semakin banyak kejadian menggali kubur dilaporkan, amalan tersebut lama-kelamaan tidak dilakukan lagi. Sedar atau tidak, dunia bersifat fana (sementara). Tujuan sebenar hidup kita adalah alam akhirat kelak.
Dunia hanyalah satu persinggahan, tempat mengumpul bekal menuju akhirat dan tempat mempersiapkan kehidupan akhirat yang merupakan kehidupan abadi.
Abu Bakar as-Siddiq pernah berkata, “Barang siapa masuk kubur tanpa membawa bekal, maka seakan-akan dia mengharungi lautan tanpa perahu.”
Kebahagiaan di akhirat tidak mungkin dapat dinikmati tanpa melakukan amalan baik ketika di dunia. Ia termasuk menafkahkan harta kepada jalan ALLAH SWT, bersedekah, berinfak dan melaksanakan ibadat wajib serta sunat yang lainnya.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud, “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya, ‘Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh.” (Surah al-Munaafiquun, ayat 10)
Apa yang pasti, semua yang dikurniakan kepada kita di dunia hanyalah pinjaman semata, amanah untuk kita uruskan sebaiknya berlandaskan al-Quran dan sunnah. Dalam apa yang ada pada kita, terdapat hak orang lain.
Setiap sen atau harta yang diinfakkan dengan ikhlas itu pasti menjadi pelaburan untuk akhirat kelak. Apabila kita diuji hidup dalam kesusahan, itu sebenarnya sebahagian ujian ALLAH SWT untuk menilai tahap kesabaran dan reda pada diri kita.
Sekiranya ditakdirkan menjadi kaya-raya, itu juga salah satu ujian bagi melihat sama ada kita bersyukur atau kufur atas nikmat itu.
Ramai yang berangan-angan untuk bersedekah apabila mempunyai harta yang banyak, namun apabila sudah berduit, lupa atau susah pula untuk bersedekah.
Oleh itu, usah ditunggu kaya untuk bersedekah kerana kita tidak tahu apa yang ALLAH tentukan untuk kita, adakah akan kaya atau tidak, sedangkan mati itu pasti.
Bersedekah adalah amalan terpuji. Sedekah juga tidak seharusnya berbentuk material atau wang semata-mata, justeru senyum juga satu sedekah.
Sedekah yang dihulurkan dengan ikhlas akan mewujudkan keberkatan dalam kehidupan, menanam rasa keinsafan, mengeratkan silaturahim, menyuburkan rasa belas kasihan dan tanggungjawab sesama manusia.
Bersedekahlah semampunya. Sungguh ALLAH Maha Suci, Maha Pemurah, Maha Melihat setiap sesuatu dan tidak ada yang luput daripada pandangan atau pengetahuan-Nya.
Marilah kita memperbanyakkan pelaburan untuk akhirat nanti. Ingatlah, kafan kita tidak berpoket.
*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!