Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sikap pemurah

Laporan Sinar Harian 31 Oktober lalu.
Laporan Sinar Harian 31 Oktober lalu.
A
A
A

MERAK Jalanan kagum dengan kesungguhan seorang warga emas di Jitra, Kedah yang berniaga kuih-muih bagi mengumpul wang untuk pembedahan kedua-dua belah matanya.

Seperti yang dilaporkan Sinar Harian, Hanapiah Mahmud, 76, yang tinggal di Gelong Rambai, Jitra berniaga berhampiran Hospital Jitra bagi mengumpulkan wang sebanyak RM5,600.

Berkat kesungguhan Hanapiah, wang itu berjaya dikumpulkan dan Hanapiah dapat menjalani pembedahan di Sungai Petani dalam masa terdekat.

Merak Jalanan juga berbangga dengan sikap rakyat Malaysia yang pemurah apabila bertali-arus sumbangan diberikan kepada Hanapiah setelah kisahnya mendapat liputan media.

Seperti yang dikongsikan Ahmad Nizar, 51, anak ketiga Hanapiah, keluarganya banyak menerima panggilan bertanya tentang bapanya untuk mengetahui kebenaran sebelum mereka menderma.

Kata Ahmad Nizar, ramai juga pembeli tidak kira lapisan umur datang bertemu bapanya di lokasi menjual kuih-muih dan menghulurkan derma.

Begitulah betapa pemurah dan prihatinnya rakyat Malaysia dalam menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan selagi penerima tersebut ‘tulen’ dan bukannya meraih kesempatan. Tambahan pula, Hanapiah bukan meminta-minta dan mengharapkan belas kasihan orang lain sebaliknya berusaha sendiri mengumpul wang.

Berkat kesungguhan itu membuat orang ramai lebih berminat untuk membantu walaupun dalam keadaan persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Rakyat Malaysia sememangnya pemurah dalam menghulurkan bantuan dan atas sebab itu kita masih mampu bertahan walaupun diuji dengan pelbagai musibah.

Jika disoroti bencana yang melanda Malaysia seperti banjir, tanah runtuh, kemalangan atau apa saja tragedi, rakyat Malaysia paling ke depan dalam menghulurkan bantuan.

Semoga semangat itu terus kekal dan memakmurkan Malaysia tercinta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!