Mourinho bangga prestasi Bale
PENGENDALI Tottenham Hotspurs, Jose Mourinho bangga dengan prestasi 'pemain pinjaman' daripada Real Madrid, Gareth Bale yang meledak jaringan kemenangan ketika menewaskan Brighton 2-1 di Stadium Tottenhan Hotspurs, awal pagi semalam.
Mourinho berkata, prestasi yang ditunjukkan penyerang Wales itu nyata memukau di sebalik kritikan yang diterima pemain itu ketika beraksi dalam saingan La Liga.
"Dalam tempoh seminggu, dia (Bale) telah menunjukkan banyak peningkatan.
"Ia bukan sekadar daripada pemerhatian, tetapi juga daripada beberapa data yang menyokong peningkatan prestasi Bale.
"Kami tahu, Bale juga tahu mengenainya dan ini membolehkan kami saling bertukar idea dan juga perasaan," katanya.
Jaringan Bale itu juga adalah jaringan pertama pemain berkenaan sejak kembali ke saingan EPL bersama Totenham Hotspurs sebagai pemain pinjaman.
Pada perlawanan berkenaan, Harry Kane membuka jaringan pada minit ke-13 apabila menyempurnakan sepakan penalti.
Bagaimanapun, Brighton berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-56 menerusi Tariq Lamptey.
Bale yang masuk sebagai pemain gantian kemudiannya memastikan Tottenham Hotspurs meraih tiga mata berharga apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-73 dan sekali gus memastikan Tottenham Hotspurs berada pada kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) di belakang pendahulu Liverpool dengan perbezaan hanya dua mata.
Sementara itu Mourinho berkata, dia juga telah melayari aman web Real Madrid bagi melihat sendiri komen-komen yang diperkatakan terhadap Bale.
"Bale berhak menjaringkan gol berkenaan. Dia telah menunjukkan personaliti yang hebat dan menjaringkan gol -gol yang penting untuk kita.
"Dia juga akan diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi Liga Europa berdepan kelab dari Bulgaria Ludogorets FC; tetapi dia tidak akan beraksi sepenuh masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!