Maszlee keluar parti Pejuang

Maszlee umum penarikan diri sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan Pejuang.
Maszlee umum penarikan diri sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan Pejuang.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik hari ini mengumumkan penarikan dirinya sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Beliau berkata, tindakan tersebut diambil kerana ingin menumpukan sepenuhnya usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini khususnya di Simpang Renggam.

"Usaha dalam gerakan perubahan pendidikan akan diteruskan melalui kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen Bebas serta menerusi ruang aktivitisme dan kerja-kerja kemanusiaan di bawah rangkaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan-rakan aktivis lain.

"Saya percaya, perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan tetapi keinginan dan kesempatan," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu, pelbagai persoalan timbul apabila kenyataan media dari parti Pejuang bertarikh 1 November dikeluarkan tanpa nama Maszlee dan hanya menyenaraikan nama empat Ahli Parlimen Bebas dari parti itu iaitu Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Dr Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md Salleh.

Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi dan kehendak rakyat terbanyak.

"Saya yakin, rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis.

"Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, semua diminta berdoa agar pandemik Covid-19 ini segera reda dan menghilang, selain kehidupan rakyat kembali normal.

"Kita belum menang tetapi kita pasti menang, Insya ALLAH," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!