Gelandangan: Kerajaan beri pekerjaan, cari tempat tinggal

Amran A Rahman
Amran A Rahman
A
A
A
JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan merangka strategi konklusif bagi mengatasi masalah gelandangan yang semakin meruncing di bandar raya itu.

Datuk Bandar MBJB, Datuk Amran A Rahman berkata, antara usaha dilakukan ialah dengan menawarkan pekerjaan dan penempatan berpandukan keperluan.

“Kita akan usahakan tawaran mendapatkan kerja dan penginapan yang sesuai untuk golongan ini.

“Kita lihat ia adalah cara terbaik untuk mengurangkan bilangan gelandangan yang ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak sama ada agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu memberi bantuan kepada golongan berkenaan.

Amran berkata, pihaknya mendapati terdapat kira-kira 250 hingga 300 gelandangan yang memenuhi sekitar bandar raya ini.

Bagaimanapun, katanya, gelandangan tersebut bersifat pelbagai dan kebanyakannya menjadikan pusat bandar raya sebagai transit sementara menunggu peluang pekerjaan.

“Ada antara mereka dari Kelantan, Terengganu, Melaka selain penduduk Johor.

“Kami kenal pasti perkara berkenaan menerusi Program Jalinan Kasih Jalanan (PJKJ) baru-baru ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program berkenaan diadakan dengan kerjasama Yayasan Bandaraya Johor Bahru (YBJB) dan NGO berkaitan.

“Menerusi program ini, golongan berkenaan turut diberikan bantuan makanan, minuman dan barangan pembersihan diri.

“Kami terus berusaha bagi mengurangkan bilangan gelandangan di bandar raya dengan membantu mengenal pasti permasalahan dalam hidup yang mereka hadapi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!