Lans Koperal Mohd Fadhirul beransur pulih
JOHOR BAHRU - Rakan setugas konstabel polis yang maut dalam kejadian kemalangan di Jalan Kangkar Tebrau ketika mengejar sebuah Perodua Myvi semalam, sudah beransur pulih.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Lans Koperal Mohd Fadhirul Musa, 32, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini semalam sudah dipindahkan ke wad biasa hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati anggota polis itu tidak mengalami kecederaan pada organ dalaman.
"Pagi ini anggota kita yang berada di wad ICU semalam sudah dipindahkan ke wad biasa, dia sudah sedarkan diri.
"Dia cedera pada hidung dan bahagian gusi. Doktor pakar buat pemeriksaan, tidak ada kecederaan serius pada organ anggota kita," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam, Nicholester Dadup Unggat, 20, maut manakala rakan setugas, Mohd Fadhirul cedera parah selepas kereta peronda MPV polis dinaiki mereka terlibat kemalangan sewaktu mengejar sebuah Perodua Myvi di Jalan Kangkar Tebrau.
Kenderaan MPV itu telah bergesel dengan Perodua Myvi sebelum berlanggar dengan sebuah Perodua Aruz.
Seterusnya kira-kira jam 10 pagi semalam, polis menemui Perodua Myvi berwarna ungu itu di tepi jalan Kampung Pandan, Taman Johor Jaya yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari lokasi nahas.
ARTIKEL BERKAITAN: Konstabel polis maut ketika kejar penjenayah
Keluarga konstabel polis maut nahas masih terkejut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!