Pegawai bomba Sabah meninggal dunia akibat Covid-19
KOTA KINABALU - Seorang pegawai bomba disahkan meninggal dunia akibat jangkitan koronavirus (Covid-19) di Hospital Queen Elizabeth I (HQE 1) di sini pagi tadi.
Penguasa Kanan Bomba II, Alias Abu, 56, menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.15 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di hospital itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kuala, Papar, petang ini.
"Allahyarham yang menerima rawatan sejak 16 Oktober lalu berada dalam keadaan kritikal hingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan sehingga pagi tadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Katanya, Allahyarham seorang pegawai yang komited dan berdedikasi serta bertanggungjawab dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.
"Beliau sudah berkhidmat dalam pasukan kira-kira 30 tahun dan ini satu kehilangan besar kepada JBPM Sabah terutama di bahagian operasi," katanya.
Terdahulu, Kamarulzaman berkata, Allahyarham bersama 15 pegawai bomba disahkan positif selepas menjalani ujian saringan Covid-19.
"Semua pegawai terbabit termasuk Allahyarham kemudian diarahkan menjalani kuarantin di HQE I.
"Bagaimanapun Allahyarham disahkan meninggal manakala 15 pegawai disahkan pulih," katanya.
Difahamkan, Allahyarham turut menghidap sakit jantung dan juga asma sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!