PRK Batu Sapi: Kerajaan tidak boleh sekat individu pulang mengundi
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak boleh menyekat mana-mana individu merentas daerah atau negeri untuk mengundi dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah yang bakal diadakan pada bulan depan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, ini kerana hak mengundi adalah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan setiap individu mesti dipermudahkan untuk keluar mengundi dengan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
“Kalau kita membuat sekatan, ia agak bertentangan dengan Perlembagaan, mereka (pengundi) boleh ambil tindakan ‘challenge’ (cabar) di mahkamah kerana menyekat kebebasan mereka untuk keluar mengundi.
"Jadi misalnya, mereka yang bekerja di Kuala Lumpur, tapi berasal dari Batu Sapi, mereka perlu dibenarkan balik mengundi dan pulang semula ke Kuala Lumpur, cuma SOP akan diperketatkan supaya tidak berlaku peningkatan kes seperti Pilihan Raya (Negeri) Sabah baru-baru ini,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata SOP yang baharu untuk PRK Batu Sapi yang akan diadakan 5 Disember ini sudah dibentangkan selaras dengan peningkatan kes Covid-19, bagaimanapun perkara itu masih dalam peringkat penambahbaikan.
Sebelum ini, SPR menetapkan beberapa garis panduan bagi PRK Batu Sapi yang antaranya tiada kempen secara bersemuka dan ziarah calon atau penyokong parti ke rumah tidak lagi dibenarkan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membentangkan cadangan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan peningkatan kes Covid-19 terutama di Selangor.
“Kita menerima pelbagai cadangan, ada yang mahu kita ketatkan lagi, ada yang cadangkan kita proaktif di kawasan kuning walaupun belum merah. Bagaimanapun, cadangan itu akan dibincangkan lebih terperinci supaya apa yang dilakukan tidak akan menjejaskan sektor ekonomi dan kehidupan rakyat, pada masa sama mahu usaha pencegahan Covid-19 diteruskan ,” katanya.
Mengenai sambutan Deepavali, Ismail Sabri berkata, SOP baharu perayaan itu akan diumumkan dalam masa terdekat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat penilaian terhadap draf SOP yang telah dibentangkan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique pada Jumaat lepas. - Bernama
[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan)[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)
Posted by Sinar Harian on Sunday, November 1, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!