Wanita jadi mangsa dera kekasih hidup dalam ketakutan
KUALA LUMPUR - Seorang wanita mendakwa menjadi mangsa dera kekasih selain dituduh gila serta mendera anak sendiri sehingga anak perempuannya yang berusia lima tahun terpaksa tinggal di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mangsa dikenali sebagai Rajes berusia 40 itu berkata, walaupun tidak lagi tinggal sebumbung dengan bekas kekasihnya berumur 38 tahun, namun dia mengalami trauma dan hidup dalam ketakutan.
Mereka berdua berkenalan melalui kawan ketika lelaki itu sedang mencari pekerjaan kira-kira Mac tahun lalu dan hubungan semakin rapat dan tinggal serumah.
"Dia mula bertindak kasar pada Mei lalu yang bukan hanya kepada saya tetapi juga anak saya. Saya menjadi mangsa seks selain dikurung di dalam rumah sehingga pernah beberapa hari tidak makan.
"Selain dipukul sehingga alami lebam, saya juga pernah dicederakan di bahagian tangan menggunakan kaca, jari anak saya terpaksa dipotong kerana luka disebabkan kekasaran dia lakukan," katanya.
Rajes berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri wakil peguam, S Sumathi dan Ketua Biro Aduan Parti Gerakan Selangor, Andy Lieng Hwa Ching di pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) Taman Kinrara di sini hari ini.
Menurutnya, laporan polis berhubung kejadian sudah dibuat beberapa kali, namun tindakannya itu tidak membantu kerana dirinya dikatakan gila dan memiliki kad psikiatri.
"Saya tak gila, doktor kata saya tak memiliki simptom tersebut tetapi saya dipaksa jalani pemeriksaan kerana dia menuduh saya alami masalah mental sehingga mencederakan anak.
"Sehingga sekarang hubungan saya dengan anak baik-baik sahaja, hari-hari saya hubunginya untuk berbual dan setiap kali itu juga anak saya meminta saya mengambilnya mahu tinggal bersama.
"Kes saya disiasat bawah isu rumah tangga dan polis meminta saya selesaikannya bersama pasangan," katanya.
Katanya, tujuan sidang media itu dibuat pada hari ini bagi membersihkan namanya dan mengharapkan pembelaan yang sewajarnya.
"Saya mahukan keadilan, perlindungan dan mahu tindakan diambil ke atas lelaki ini. Walaupun saya berjaya melarikan diri, namun saya masih diganggu menerusi panggilan telefon dan menerima ugutan.
"Sehingga kini sijil kelahiran anak, sijil-sijil saya serta Ipad saya masih di tangannya. Dia kata akan serahkan kepada saya jika saya kembali dengannya, tapi saya tahu saya akan terus menjadi mangsa deranya," katanya.
Sementara itu, Andy berkata, beliau berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan menyeluruh ke atas laporan yang dibuat mangsa.
"PGRM sedia membantu mangsa menggunakan saluran yang perlu namun yang penting adalah supaya kes ini disiasat. Kes ini serius kerana melibatkan ugutan dan kecederaan ke atas mangsa, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!