Belanjawan 2021: Wanita PKR cadang enam tuntutan

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita PKR mengemukakan enam tuntutan berdasarkan cadangan utama Pakatan Harapan (PH) kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk Belanjawan 2021.

Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh berkata, pihaknya menggesa Tengku Zafrul meneliti kesemua tuntutan tersebut dengan tumpuan utama menangani keperluan dan kesejahteraan dalam tempoh pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, pertama, tuntutan bagi memperkasa perlindungan sosial i-Suri yang diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

“Kedua, perlindungan khusus kepada pemandiri keganasan rumah tangga melalui peruntukan khas untuk hotel terpilih sebagai tempat perlindungan sementara, perluaskan talian psikososial kepada NGO terpilih dan pemberdayaan program kaunselor dalam komuniti.

“Ketiga, memberikan keutamaan kepada mahkamah syariah (khas) bagi tuntutan nafkah dan perceraian akibat keganasan rumah tangga disegerakan.

“Bagi tujuan tersebut, peruntukan khas bagi mewujudkan sistem e-filing yang efektif bagi menyokong prasarana mahkamah syariah untuk beroperasi dalam tempoh pandemik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, tuntutan keempat adalah jaminan sekuriti makanan dengan mengutamakan kumpulan sasar B40 melalui bantuan makanan bernutrisi kanak-kanak dan pemberian baucar penebusan makanan untuk ibu setiap keluarga melalui pusat khidmat ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.

Kelima menurutnya, mewujudkan Program AgroWanita sebagai langkah program memperkasa komuniti sekuriti makanan dan pertanian selain Skim Guranteed Buy-back oleh agensi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang dapat menjana pendapatan sampingan keluarga.

Artikel Berkaitan:

“Keenam, menggesa Program Daftar Warga Emas (Dawe) dilaksanakan dengan segera bagi tujuan perlindungan terhadap warga emas yang tinggal berseorangan dengan sistem semakan keselamatan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!