Lebih 6,600 cadangan diterima daripada sesi konsultasi Belanjawan 2021

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 6,600 cadangan telah diterima daripada sesi konsultasi Belanjawan 2021 bersama parti politik dan juga melalui laman web Belanjawan 2021 sehingga 2 November, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, ini termasuk lebih 170 cadangan yang telah diterima susulan perjumpaan bersama ahli politik.

“Secara amnya, cadangan tertumpu kepada sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk mengatasi kesan-kesan Covid-19 menjelang tahun 2021.

“Antara sektor dengan cadangan tertinggi termasuklah kesihatan, sokongan pekerjaan, pendidikan dan industri PKS.

“Kementerian sedang memperhalusi kesemua cadangan untuk disertakan dalam Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan pada Jumaat, 6 November ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, sesi konsultasi bersama parti politik adalah kesinambungan kepada usaha penyediaan Belanjawan 2021 yang inklusif dan komprehensif.

Katanya, sejak Julai, lebih 40 sesi konsultasi telah diadakan melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan.

“Ini termasuk sesi turun padang ke setiap negeri buat kali pertamanya dalam sejarah kementerian untuk mendekati rakyat dan perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, konsultasi Belanjawan 2021 bersama wakil-wakil daripada parti-parti politik negara iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Islam Se Malaya (PAS), Malaysian Chinese Association (MCA), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH), yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak berkepentingan – rakyat, perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan serta sektor awam dan swasta, yang terlibat dalam proses konsultasi ini,” katanya.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 merupakan fasa kelima dalam strategi enam fasa atau Strategi 6R, iaitu rancangan pemulihan ekonomi kerajaan yang telah digerakkan sejak Mac lepas.

Katanya, fasa-fasa sebelum ini merangkumi pelan rangsangan ekonomi Prihatin, Prihatin PKS+, Penjana dan Kita Prihatin yang berjumlah RM305 bilion.

“Belanjawan 2021 adalah kesinambungan pencapaian pakej-pakej tersebut dan mempunyai tiga matlamat utama iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” katanya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!