Kasih mentua hingga akhir hayat
MELAKA TENGAH - Seorang bapa mentua yang sebak dan pilu duduk di sebelah jenazah menantunya, Allahyarham Zulhilmi Razali, 26, yang maut dalam kemalangan di Jalan Bukit Katil pada awal pagi tadi.
Gambar Roslan Ramlan, 54, yang berbaju biru dan bersila di hadapan jenazah menantu keduanya itu tular di media sosial, Facebook sejak siang tadi.
Roslan berkata, menantunya yang berasal dari Kampung Chondong, Kelantan bekerja di tempat yang sama dengannya.
Katanya, sebelum kejadian Zulhilmi keluar rumah terlebih dahulu untuk ke tempat kerja lebih kurang jam 6.30 pagi sebelum dia pula keluar kira-kira 10 minit kemudian dengan menaiki motosikal berasingan.
Bagaimanapun menurutnya, ketika melalui lokasi kejadian dia kemudian memberhentikan motosikal dan tidak mengesyaki apa-apa namun terkejut selepas melihat tubuh yang kaku di atas jalan terbabit adalah menantunya.
"Walaupun tahu dia dah tiada ketika itu, namun saya tetap membisikkan kalimah syahadah.
"Sementara menunggu jenazahnya dibawa ke Hospital Melaka, saya duduk sebelah dan membaca ayat-ayat suci al-Quran sehinggalah jenazahnya diangkat," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Duyong, di sini petang tadi.
Allahyarham yang bekerja sebagai operator kilang dan baru setahun lebih mendirikan rumah tangga meninggalkan seorang balu, Norhasliza Roslan, 24, dan seorang anak perempuan, Nur Irdina Adelia Roslan, 10 bulan.
Tambah Roslan, biarpun sedih dengan kejadian yang menimpa menantunya itu lebih-lebih lagi meninggalkan seorang anak yang masih kecil namun bersyukur ALLAH SWT meminjamkannya seorang menantu yang baik akhlaknya.
Menurutnya, Zulhilmi bukan sahaja disifatkan seorang yang rajin bekerja malah ringan tulang membantu isteri membuat kerja rumah selain hubungan yang akrab mereka sekeluarga memandangkan mereka tinggal di rumah yang sama.
"Saya bersyukur dapat menantu yang keluarganya mendidiknya dengan baik dan melayan anak perempuan saya begitu baik sehinggakan pinggan isterinya juga dicuci.
"Walaupun arwah bukan berpelajaran tinggi namun orangnya berakhlak tinggi dan segala kenangannya di rumah pasti akan akan dirindui," katanya yang akan menjaga cucunya itu dengan penuh kasih sayang.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 6 petang tadi.
Terdahulu Sinar Harian menyiarkan seorang pekerja kilang maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang jurujual wanita berusia 38 tahun.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi, Muhammad Zulhilmi yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 maut di lokasi kejadian berhampiran Masjid Saidina Ali Bukit Katil kerana mengalami cedera parah di kepala.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!