Penganggur ugut warga emas guna pisau ditahan
BUTTERWORTH- Seorang penganggur ditahan selepas mengugut warga emas dengan menggunakan sebilah pisau di Lahar Tambun, Tasek Gelugor, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan dan akan direman untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, sebelum kejadian pada jam 4 pagi itu, mangsa yang berusia 62 tahun terdengar seperti orang menendang pintu rumahnya namun mengabaikan kerana menyangka ia dari rumah jiran.
Bagaimanapun, katanya, pada jam 7.30 pagi (hari sama), dia mendapati pintu rumahnya telah rosak dan dimaklumkan oleh anak saudaranya bahawa ia perbuatan jirannya.
"Mangsa telah ke rumah jirannya (suspek) untuk bertanya tentang perbuatan itu namun suspek terus mengamuk lalu mengacukan pisau ke arah mangsa.
"Mangsa yang ketakutan terus melarikan diri ke rumahnya. Bimbang berlaku perkara tidak diingini, mangsa membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi hari ini.
Noorzainy berkata, kejadian ugutan itu berlaku di rumah suspek iaitu rumah kampung setingkat.
"Suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah. Siasatan awal juga mendapati, suspek dipercayai sakit mental.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut menggunakan pisau. Suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk perintah reman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!