Undian Piala Malaysia adil
KUALA LUMPUR - Proses undian Piala Malaysia 2020 dilakukan secara telus dan adil, kata Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.
Menurut beliau, tidak timbul isu undian berat sebelah seperti yang didakwa sesetengah pihak kerana MFL sebagai badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) telah melaksanakan tanggungjawab secara profesional.
“Susunan pasukan bagi setiap balang dalam mekanisme undian diambil kira berdasarkan kedudukan akhir pasukan dalam saingan Liga Super dan Liga Premier musim ini.
"Terdapat dua balang membezakan pasukan serta dua pemerhati bebas, Datuk Jasni Shafie (Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia) dan Shahida Bashirah Hishamuddin (Ketua Unit Perundangan Persatuan Bola Sepak Malaysia) sebagai saksi pada majlis undian itu," katanya kepada Bernama hari ini.
Keputusan undian Piala Malaysia 2020 disiarkan secara langsung di Facebook MFL semalam, mendapat kritikan peminat tempatan, yang mendakwa proses undian dijalankan secara ‘syok sendiri’.
Dakwaan berat sebelah timbul susulan kedudukan pasukan dilihat tidak seimbang apabila salah satu laluan ke perlawanan akhir menghimpunkan beberapa pasukan utama Liga Super dengan pertembungan dua bekas juara, Kedah dan Pahang menjadi aksi tumpuan.
Sementara persaingan lebih mudah dilihat seakan-akan memihak kepada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), juara Liga Premier 2020 Pulau Pinang, UiTM FC, Kuala Lumpur dan Kelantan menjadi antara pasukan pilihan merebut slot ke final.
Dalam pada itu, Ab Ghani berharap kerjasama kesemua pasukan dapat diteruskan dalam menyempurnakan saingan Piala Malaysia yang bermula Jumaat ini biarpun masih berdepan penularan pandemik Covid-19.
“Piala Malaysia adalah piala berprestij bukan sahaja di negara kita tetapi di rantau Asia Tenggara dan mungkin di Asia. Kepentingan itu yang MFL jaga malah edisi kali ini, juara akan mendapat slot ke Kejohanan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) musim depan.
“Harapan MFL sama seperti ketika saingan Liga Super dan Liga Premier, diharapkan Piala Malaysia dapat ditamatkan dengan sempurna dan komitmen pasukan amat diperlukan,” katanya.
-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!