Kita semua ialah 'frontliners'
KETIKA ini, Malaysia mengalami situasi genting akibat gelombang ketiga pandemik koronavirus (Covid-19) yang mencatat kenaikan mendadak kes harian.
Bagi menghadapi situasi mencabar itu, kita perlu bersatu padu, bekerjasama dan menyokong sepenuhnya usaha Kementerian Kesihatan (KKM) memerangi Covid-19.
Jadi, amatlah penting bagi orang ramai memahami bahawa tindakan utama yang boleh melindungi mereka daripada dijangkiti adalah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Hanya dengan cara itulah kita mampu melandaikan lengkuk gelombang ketiga kerana KKM tidak berupaya membendung penularan Covid-19 tanpa sokongan berterusan daripada seluruh rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, cabaran utama adalah sejauh mana kita mampu patuh, mendisiplinkan diri dan melaksanakan sepenuhnya SOP dengan sebaik mungkin.
Kita tidak boleh ambil mudah dan bersikap sewenangnya terhadap segala SOP yang digariskan kerana gelombang kali ini dijangka berlarutan bagi tempoh yang agak lama seiring trend peningkatan kes jangkitan di seluruh dunia.
Kita juga belum mampu mengurangkan jumlah titik panas dan zon merah sedia ada, malah jumlah zon hijau yang bertukar kepada zon kuning dan seterusnya zon merah semakin bertambah, selain terdapat kawasan yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Semua itu berpunca daripada pelanggaran SOP. Sebagai contoh, pada 31 Oktober lalu, jumlah individu yang ingkar PKPP masih dianggap tinggi apabila seramai 661 orang ditahan, bermakna meningkat hampir sekali ganda daripada tangkapan atau penahanan hari sebelumnya iaitu seramai 467 orang.
Usaha melandaikan lengkuk Covid-19 bergantung kepada beberapa faktor, paling utama memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, amalan penjarakan sosial dan mengelak berada di tempat tumpuan ramai yang sesak, sebaliknya duduk di rumah jika tiada urusan penting.
Usaha kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 tidak akan berjaya dengan hanya tindakan penguatkuasaan semata-mata. Lantaran itu, rakyat Malaysia perlu menjadi barisan hadapan dalam pengawalan kendiri.
Kehadiran pelbagai agensi penguat kuasa tidak mampu menyekat Covid-19 kerana yang lebih penting adalah sokongan setiap individu mengamalkan kawalan kendiri sepenuhnya kerana setiap daripada kita ialah 'frontliners'.
Rakyat juga perlu diberi peringatan bahawa Malaysia mungkin berdepan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 dalam tempoh terdekat jika kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) naik lebih 1.6.
Ia tidak mustahil berlaku jika majoriti rakyat Malaysia termasuk pemimpin masih gagal mematuhi SOP, terus mengamalkan sikap tidak bertanggungjawab serta bersikap ‘saya tidak peduli’.
Kini bukan masa untuk menuding jari dan menyalahkan sesiapa, sebaliknya semua pihak perlu bersolidariti melawan Covid-19 kerana vaksinnya masih belum ditemui.
Sehingga itu, patuhilah setiap arahan dan saranan pihak berkuasa khususnya yang melibatkan SOP.
Masyarakat perlu menganggap diri mereka sebagai petugas barisan hada-pan dan terus mengamalkan norma baharu dalam usaha membantu kerajaan memerangi Covid-19. Kita mesti bangkit bersama melawan Covid-19.
Usaha melandaikan lengkungan graf akan gagal jika kita sekadar menegur dan mengarah orang ramai mengikut prosedur, sebaliknya pemimpin tidak patuh SOP ditetapkan.
Setiap orang harus memainkan peranan. Kini adalah masa untuk penyelesaian bersama, bukannya masa untuk pertelingkahan politik.
Bantulah KKM, bukannya menambah masalah sedia ada kerana kita mempunyai hanya satu musuh yang sama iaitu virus, bukan sesama sendiri!
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!