Trump mengaku tidak akan kalah kecuali dengan penipuan
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini pernah berkata dalam kempennya bahawa beliau mahukan 'peralihan kuasa secara lancar' selepas keputusan pilihan raya Presiden yang bermula secara rasmi hari ini diketahui pemenangnya.
Dalam pilihan raya itu, Trump yang mewakili Parti Republikan akan berdepan dengan pencabarnya paling utama iaitu Joe Biden daripada parti Demokrat.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan dipetik sebuah akhbar di negara tersebut bahawa keadaan itu akan berlaku jika pilihan raya berkenaan diadakan secara adil.
Taikun dan bilionair hartanah itu ketika berkempen di Newport News, Virginia pada Jumaat lalu dilaporkan berkata bahawa satu-satunya cara untuk beliau kalah dalam perlumbaan ke Rumah Putih itu adalah disebabkan penipuan yang berlaku dalam pilihan raya tersebut.
Sebelum ini, Trump yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden AS pada tahun bulan Januari 2017 menggunakan pendekatan menanamkan keraguan tentang kesahihan pilihan raya tersebut kepada rakyat negara berkenaan.
Ini adalah kerana beliau kerap kali mempersoalkan kesahihan undian yang dilakukan secara pos selama beberapa bulan.
Undian secara pos sebelum ini didakwa dilakukan bukan oleh seseorang pengundi berdaftar tetapi oleh orang lain dengan menggunakan nama pengundi berkenaan menyebabkan ia menjadi bahan kempen Trump bahawa penggunaan undi pos boleh membawa kepada satu bentuk penipuan.
Tambahan pula, ramai pengundi kali ini memilih untuk mengundi secara pos disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara berkenaan.
Setakat ini, adalah sukar untuk menyatakan apakah yang akan dilakukan jika Trump yang berusaha untuk mengekalkan jawatan Presiden AS itu kalah kepada Biden dalam pilihan raya berkenaan.
Persoalan itu menyebabkan para pemerhati politik mengkaji semula apa yang diperkatakan Trump dalam tempoh beberapa bulan lalu.
Seorang penganalisis politik, Larry Sabato di Universiti Virginia berkata, ia bergantung kepada margin kemenangan Biden dalam pilihan raya tersebut.
"Jika Trump kalah dalam margin yang besar, beliau akan melakukan perbuatan yang tidak menyenangkan dengan kadar minimum untuk menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Biden.
"Bagaimanapun, jika keputusan (jumlah undi itu adalah kecil) sengit, kemungkinan protes ganas akan berlaku," tambahnya.
Pada pilihan raya 2016, Trump menewaskan bekas Setiausaha Negara negara itu, Hillary Clinton yang mewakili parti Demokrat dengan memperoleh sebanyak 304 undi elektoral berbanding Clinton hanya mendapat 227 undi.
Bagaimanapun, Clinton berjaya memenangi undi popular apabila meraih sebanyak 65,844,610 undi menewaskan Trump yang mendapat 62,979,636 undi.
Kejayaan Trump ketika itu adalah kerana beliau diumumkan sebagai pemenang undi popular di kubu kuat parti Demokrat iaitu Pennyslvania, Michigan dan Wisconsin sekali gus memperoleh kelebihan undi elektoral berbanding Clinton.
Pemenang jawatan Presiden AS adalah ditentukan oleh undi elektoral dan bukan undi popular dan seseorang calon perlu mendapat 270 undi elektoral jika mahu memenangi jawatan tersebut.
Sebelum ini, peralihan kuasa daripada Presiden ke-44 AS dan lelaki berkulit hitam pertama memegang jawatan itu di negara tersebut, Barack Obama kepada Trump berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian buruk.
Ia juga berlaku secara aman ketika peralihan kuasa berlaku antara Presiden AS yang ke-42, Bill Clinton yang mewakili parti Demokrat kepada George W Bush daripada parti Republikan pada awal tahun 2001.
Undang-undang AS menetapkan bahawa bakal Presiden AS sepatutnya diberikan akses yang lebih meluas yang diperlukannya semasa peralihan kuasa berlaku.
Pastinya ia juga bergantung kepada semangat muhibah pentadbiran lama termasuk Presiden yang kalah dalam jawatan tersebut semasa peralihan kuasa tersebut berlaku.
Ini adalah kerana majlis angkat sumpah jawatan Presiden baharu AS lazimnya berlaku pada bulan Januari.
Biden pula pernah menjadi Naib Presiden AS selama dua penggal pada masa era pentadbiran Barack Obama pada tahun 2009 hingga 2017.
Kini beliau mendahului Trump dalam kebanyakan tinjauan pendapat sekali gus menyebabkan beliau dianggap sebagai calon pilihan untuk memenangi jawatan itu.
Bagaimanapun, dalam satu tinjauan di Iowa Sabtu lalu, Trump yang pernah dijangkiti Covid-19 bulan lalu didakwa mendahului tujuh mata di negeri itu.
Pasukan kempen Trump dan Presiden AS itu juga mendakwa Biden terlibat dalam urus niaga anaknya iaitu Hunter di Ukranie dan China melibatkan syarikat tenaga di kedua-dua negara.
Hunter didakwa menggunakan nama bapanya dan pengaruhnya dalam perniagaan itu.
Bagaimanapun, Biden menafikan dakwaan tersebut yang dibuat ketika pilihan raya Presiden semakin hampir berlangsung.
Sehingga Ahad lalu, seramai 93,131,017 orang mengundi awal manakala orang ramai yang layak mengundi di negara berkenaan ialah 239,247,192 orang. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!