Belanjawan utamakan kebajikan rakyat
BAGI memberikan kesejahteraan rakyat dan memulihkan ekonomi negara yang terkesan pandemik Covid-19, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini dilihat amat penting dan sememangnya ditunggu-tunggu.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini menasihatkan ahli-ahli Parlimen supaya memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 bagi melancarkan dasar dan usaha membendung ancaman wabak itu.
Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pastinya akan menyediakan satu peruntukan besar dan digunakan untuk mempergiatkan semula ekonomi negara tenat sepanjang tahun ini akibat penularan Covid-19.
Segenap lapisan rakyat sememangnya mengharapkan Belanjawan 2021 bakal menyalurkan bantuan secukupnya terutama kepada golongan yang memerlukan.
Begitu juga golongan peniaga yang mengharapkan kerajaan boleh memberi pakej rangsangan bagi membantu perniagaan mereka yang sudah dalam keadaan tenat sepanjang tahun ini.
Kita menyambut baik langkah yang diambil semua pemimpin sama ada daripada parti kerajaan mahupun pembangkang sebaik sahaja menerima nasihat daripada Al-Sultan Abdullah supaya mengetepikan perbezaan politik untuk sama-sama menyokong Belanjawan 2021.
Begitu juga dengan rayuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta semua ahli Parlimen dapat melupakan persengketaan politik untuk memastikan Belanjawan 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.
Kita berharap semua parti politik mengutamakan kepentingan negara dan rakyat serta menumpukan perhatian menyelesaikan kemelesetan ekonomi yang teruk ketika ini.
Seperti yang ditegaskan Tengku Zafrul, Belanjawan 2021 adalah belanjawan yang akan menyelamatkan Malaysia dan rakyat jelata.
Kita percaya kerajaan akan berusaha sedaya-upaya memperuntukkan lebih banyak wang, bukan sahaja untuk memerangi wabak Covid-19, malah kebajikan dan kesejahteraan rakyat juga tidak dipinggirkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!