MAHA 2020 ditangguhkan
PUTRAJAYA - Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2020) yang dijadualkan berlangsung pada 26 sehingga 29 November ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan.
Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan memaklumkan, penangguhan itu berikutan situasi peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) yang membimbangkan ketika ini.
"Keputusan ini diambil sebagai pendekatan mitigasi kementerian dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini selain menjamin kelangsungan keselamatan, kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat.
"Kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat dalam persediaan penganjuran MAHA 2020," katanya.
Pada 6 Ogos lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penganjuran MAHA tahun ini dijangka diadakan secara hybrid.
Katanya, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP bersetuju secara dasar dengan cadangan penganjuran MAHA 2020 yang akan diadakan secara fizikal dan maya (virtual).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!