Tiga maut serangan tembakan di Austria
VIENNA - Sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di tengah Vienna malam semalam menyebabkan dua orang terbunuh dan sejumlah lagi cedera, kata pihak berkuasa.
Canselor Austria, Sebastian Kurz pula menganggap kejadian tersebut sebagai "satu serangan pengganas yang menjijikkan".
Dalam kejadian itu juga, polis kemudian menembak mati seorang suspek penyerang dan operasi bagi menangkap mereka yang melepaskan tembakan di enam lokasi yang berbeza di bandar raya tersebut sedang dilakukan.
Datuk Bandar Vienna, Michael Ludwig memberitahu media tempatan bahawa 15 orang telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Polis menyatakan, salah seorang yang cedera itu ialah seorang pegawai polis.
Serangan itu dilakukan oleh "beberapa suspek yang bersenjatakan raifal", kata pihak berkuasa tersebut yang berkata ia berlaku di "enam buah lokasi yang berbeza".
Tembakan pertama berlaku pada kira-kira jam 8 malam waktu tempatan di Seitenstettengasse, tengah Vienna.
Ia berlaku beberapa jam sebelum Austria melaksanakan perintah 'lockdown' sebagai usaha untuk menghalang penyebaran pandemik koronavirus (Covid-19).
Kejadian itu terjadi ketika restoran-restoran dan bar-bar dikunjungi oleh ramai orang pada hari terakhir sebelum 'lockdown' dikuatkuasakan.
Bunyi siren dan helikopter boleh didengar di tengah bandar ketika pasukan perkhidmatan kecemasan bertindak balas terhadap serangan berkenaan.
Seorang jurugambar AFP berkata, sejumlah besar anggota polis mengawal sebuah kawasan dekat sebuah bangunan teater di bandar raya itu.
Dalam pada itu, Kurz berkata menerusi Twitter bahawa: "Kami tidak akan ditakut-takutkan oleh pengganas dan kami akan memeranginya dengan menggunakan semua cara."
Beliau berkata, polis akan memberi tumpuan kepada operasi menentang pengganas manakala pihak tentera akan melindungi bangunan-bangunan penting di Vienna.
Lokasi tembakan awal dalam kejadian itu adalah berdekatan dengan sebuah rumah ibadat Yahudi.
Presiden komuniti Yahudi di Vienna, Oskar Deutsch berkata, beberapa das tembakan dilepaskan di pekarangan rumah ibadat Yahudi Stadttempel tetapi masih tidak diketahui sama ada bangunan tersebut menjadi sasaran dalam kejadian berkenaan.
Katanya, rumah ibadat dan pejabat bangunan tersebut di alamat yang sama juga telah ditutup ketika kejadian berkenaan berlaku.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata menerusi Twitter bahawa "kami rakyat Perancis berkongsi perasaan terkejut dan sedih bersama penduduk Austria."
"Selepas Perancis, ia adalah sebuah negara sahabat yang telah diserang," kata kenyataan Macron.
Beliau merujuk kepada kejadian seorang penyerang bersenjatakan pisau di bandar raya Nice, Perancis yang mengakibatkan tiga orang mati dibunuh dan kepala seorang guru di negara tersebut pula dipenggal oleh remaja Muslim etnik Chechen berusia 18 tahun kerana beliau menunjukkan kartun Nabi Muhammad SAW kepada para pelajarnya. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!