Warisan hargai UMNO beri laluan dalam PRK Batu Sapi
KOTA KINABALU - Cadangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan agar semua pihak memberi laluan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi amat dihargai oleh pemimpin parti itu.
Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata, cadangan yang dibuat oleh Mohamad jelas menunjukkan keprihatinannya kepada wabak koronavirus (Covid-19) yang teruk melanda Sabah.
"Kita sudah mendengar dan membaca laporan yang dibuat oleh media mengenai barisan hadapan dan doktor di Sabah yang kepenatan bekerja tanpa henti kerana jumlah kes yang semakin meningkat.
"Nasib dan kebajikan barisan hadapan kita dalam usaha menangani masalah Covid 19 di negeri ini harus diutamakan dan cadangan Tok Mat agar UMNO memberi laluan kepada Warisan di Batu Sapi ini amat dihargai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Loretto berkata, tiada salahnya untuk semua pihak bekerjasama untuk menangani wabak Covid-19 yang melanda negeri ini.
"Tidak salah sekiranya semua kita semua (termasuk calon bebas) bersolidariti berkenaan dengan PRK Batu Sapi agar kita dapat menumpukan soal kebajikan rakyat serta ekonomi negeri yang terjejas akibat daripada wabak ini.
"Lagipun kita cuma perlu tunggu selama dua tahun lagi untuk pilihan raya umum (PRU) diadakan dan adalah lebih baik sekiranya masa sekarang ini digunakan sebaiknya demi kebaikan rakyat Sabah," katanya.
Ahad lalu, Mohamad menyatakan PRK Batu Sapi tidak perlu diadakan jika semua parti mengambil keputusan untuk tidak bertanding dan memberi laluan kepada Warisan menyandang semula kerusi berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Beri laluan kepada Warisan: Tok Mat
Beliau berkata, ia adalah sebagai menghormati bekas Ahli Parlimen Batu Sapi, mendiang Datuk Liew Vui Keong dan mengelakkan PRK diadakan waktu ini.
Pada 8 Oktober lalu, Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk tidak menyertai PRK Batu Sapi bagi mengelak wabak Covid-19 merebak dan menular seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) antara parti yang turut tidak mengambil bahagian dalam PRK yang akan diadakan pada 5 Disember depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!