Majlis Khas MA63 bersidang kali pertama bulan ini
KUALA LUMPUR - Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (Majlis Khas MA63) dijangka bersidang buat kali pertama bulan ini bagi membincangkan serta membuat ketetapan berhubung perkara-perkara yang penting dan perlu dipercepatkan serta diselesaikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, majlis khas itu juga akan meneliti isu-isu berbangkit berhubung pelaksanaan keputusan-keputusan di bawah Jawatankuasa Kabinet terdahulu bagi memastikan perkara-perkara yang boleh diselesaikan dilaksanakan segera.
"Ini menunjukkan keikhlasan kerajaan Persekutuan dalam menjamin hak-hak negeri Sabah dan negeri Sarawak dilaksanakan selaras dengan hak-hak yang dijamin di bawah undang-undang dan Perlembagaan negara," katanya menerusi jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen.
Ia bagi menjawab soalan Yamani Hafez Musa (Bersatu-Sipitang) berhubung perkembangan terkini Majlis Khas MA63 itu serta soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan usaha-usaha diambil kerajaan untuk menunaikan perkara dalam MA63.
Jemaah Menteri pada 9 September bersetuju dengan penubuhan Majlis Khas MA63 yang diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak pada 16 September lepas.
Majlis Khas ini akan diurusetiakan oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS) yang bertanggungjawab memastikan isu-isu yang berkaitan dengan MA63 dapat diselesaikan dan dilaksanakan dengan telus dan berkesan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!