Kalau dibedah, siapa nak urus saya nanti...

Eh Fau tinggal seorang diri di rumah usang ini.
Eh Fau tinggal seorang diri di rumah usang ini.
A
A
A

TUMPAT - Sudahlah kakinya bengkok akibat kemalangan motosikal lapan tahun lalu, tinggal pula seorang diri di rumah usang yang hanya berlantaikan buluh.

Kecacatan kekal itu benar-benar mengubah hidup Eh Fau Chau Pu, 52, apabila dia sukar untuk bekerja dan bergerak.

Namun, kekangan itu tidak pernah mematahkan semangatnya meneruskan kehidupan seperti insan normal lain.

Eh Pau berkata, jika dulu dia merantau jauh ke negeri orang bekerja sebagai buruh, tetapi kini hanya menetap di kampung halaman di Jejulok, Simpangan.

"Bila kaki dah bengkok, nak kerja apa pun tak dapat. Jadi saya buat anyaman buluh hasilkan serkap ayam, dapatlah RM40 sebiji.

"Tetapi dengan kaki cacat begini, sukar untuk saya masuk hutan cari buluh. Tempahan banyak tapi kudrat saya terbatas," katanya.

Menurutnya, kecacatan kaki juga menyukarkan dia berulang-alik ke bandar membeli keperluan dapur.

"Mujurlah kaki bengkok pun mampu kayuh basikal lagi. Itu pun keluar ke pekan seminggu sekali sebab jauh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tiong Lam melihat kaki Eh Fau yang bengkok akibat kemalangan lapan tahun lalu.
Tiong Lam melihat kaki Eh Fau yang bengkok akibat kemalangan lapan tahun lalu.

Memandangkan rumahnya sering dimasuki pencuri, Eh Fau memelihara anjing dan haiwan itulah yang menjadi peneman setianya.

Menurut Eh Fau, dia terpaksa melupakan hasrat menjalani pembedahan kakinya kerana bimbang tidak dapat menguruskan diri sendiri selepas keluar hospital nanti.

"Saya tinggal seorang diri, nak tunggu kaki pulih selepas pembedahan, siapa nak urus saya.

"Siapa nak masak untuk saya, nak mandikan saya, nak usung saya ke tandas sebab tandas jauh," katanya menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Penderitaan Eh Fau turut mendapat perhatian Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang menziarahinya dan menyampaikan sumbangan keperluan dapur.

Pengerusinya, Pui Tiong Lam berkata, rumah Eh Fau perlu dibina baharu untuk keselesaannya.

"Kami akan ikhtiar cari penyumbang untuk bina rumahnya, ia mungkin dilakukan secara berperingkat mengikut dana yang diperoleh nanti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!