Usul desak Macron tarik ucapan Islamofobia dibahas di kamar khas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usul mendesak Presiden Perancis, Emmanuel Macron menarik balik kenyataannya yang berunsur Islamofobia akan dibahaskan dalam Persidangan Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata, usul itu dibenarkan dibahaskan di kamar khas kerana ia berkaitan kepentingan orang ramai.

Usul itu dikemukakan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) supaya kerajaan menyatakan bantahan keras terhadap kenyataan Macron yang membuat dakwaan berunsur Islamofobia dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara.

"Kenyataan yang dibuat beliau ketika menghadiri majlis pengebumian seorang guru sekolah menengah yang dibunuh selepas memaparkan karikatur didakwa Nabi Muhammad SAW.

"Presiden Macron kemudian menggambarkan pembunuhan tersebut sebagai serangan pengganas Islam yang tipikal," katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan dan Parlimen mengambil tindakan menghantar nota bantahan keras melalui Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur.

"Ia bagi menuntut Macron menarik balik kenyataan biadab itu dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan masyarakat dunia.

"Saya juga menyeru Dewan Rakyat mengecam dan mengkritik kenyataan Macron di samping menyatakan pendirian tidak bersetuju ke atas pembunuhan itu yang sewajarnya diserahkan kepada proses undang-undang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan Samuel Paty dibunuh dengan kejam apabila kepalanya dipenggal oleh seorang lelaki Rusia berketurunan Chechen pada 16 Oktober lalu.

Sebelum itu, guru berkenaan didakwa menunjukkan karikatur dipercayai Nabi Muhammad SAW yang menyebabkan 12 orang dibunuh dalam serangan di Pejabat Charlie Hebdo pada 2015.

Bagaimanapun, Macron mempertahankan tindakan guru berkenaan sehingga menyebabkan protes besar-besaran di kebanyakan negara Islam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!