Tiga skim utama dilancar fokus penempatan pekerjaan
KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia melancarkan tiga skim utama yang memfokuskan kepada penempatan pekerjaan dan pekerjaan kendiri untuk memulihkan semula ekonomi negara yang terkesan dengan impak penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, skim itu dilancar menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) melibatkan skim ‘Place and Train’, skim B40 Development dan skim Gerak Insan Gemilang (GIG).
"Kerajaan memperuntukkan RM500 juta (RM250 juta dana kerajaan dan RM250 juta levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia atau HRDF) bagi melaksanakan inisiatif ini.
"Setakat ini PSMB telah menerima peruntukan sebanyak RM100 juta daripada kerajaan dan ia telah digunakan sepenuhnya," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan M Kulasegaran (PH- Ipoh Barat) tentang bilangan pekerja yang telah dilatih dan mendapat penempatan pekerja setakat ini melalui peruntukan RM500 juta yang disalurkan kepada PSMB untuk melatih dan menempatkan 40,000 pekerja.
Saravanan memberitahu, sehingga 16 Oktober lalu, PSMB telah meluluskan sebanyak 35,938 pelatih bagi mengikuti skim-skim yang melibatkan penempatan pekerjaan dan pekerjaan kendiri.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 6,567 pelatih telah menamatkan latihan dan seterusnya mendapat pekerjaan mahupun pekerjaan kendiri.
Katanya, di bawah inisiatif itu sebanyak 285 pusat latihan telah pun diluluskan bagi ketiga-tiga inisiatif di mana Selangor mencatatkan jumlah penyedia latihan tertinggi iaitu 41.1 peratus diikuti Kuala Lumpur (31.6 peratus) dan Pulau Pinang serta Sabah (masing-masing 4.9 peratus).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!